Punca Pengangkat Segmen MRT Jatuh Disiasat

KUALA LUMPUR – MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) akan menyiasat punca insiden pengangkat segmen (segment lifter) projek Transit Aliran Massa (MRT) yang jatuh dari landasan ketika kerja-kerja dijalankan melibatkan kawasan atas Sungai Gasi di Jalan Kuala Selangor dekat sini, dalam kejadian pukul 11 malam Sabtu lalu.

MMC Gamuda dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya mengesahkan perkara itu setelah gambar struktur berkenaan tular di media sosial dan menimbulkan kebimbangan orang ramai.

MMC Gamuda berkata, ketika kejadian, pekerja di tapak projek ketika itu sedang bersedia untuk menggerakkan pengangkat berkenaan di sepanjang jambatan itu.

“Kejadian berlaku dalam kawasan tapak projek dan tidak menjejaskan kawasan awam serta tiada pekerja mahupun orang awam yang cedera dalam insiden itu.

“Tapak projek ini adalah di bawah kontraktor Sunway, bagaimanapun MMC Gamuda dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) sedang menjalankan siasatan untuk menentukan punca dan langkah-langkah pencegahan dilakukan bagi mengelakkan insiden berulang,” katanya.

Tambahnya, MRT Corp juga telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh dibuat terhadap pengangkat berkenaan dan pihaknya yakin pembinaan projek MRT adalah mengikuti prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan dan prosedur keselamatan akan dikaji dan ditingkatkan di semua tapak pembinaan untuk projek itu,” katanya.

Pengangkat segmen berkenaan telah dialihkan malam semalam bermula dari pukul 10 malam hingga 6 pagi tadi.

Loading...