Pulih Upaya Bertutur Selepas Menyanyi Lagu Beatles

STAPLEHURST – Seorang guru sekolah rendah yang hilang keupayaan untuk bertutur selepas diserang sejenis masalah saraf serius kembali bersuara selepas diajar menyanyi sebuah lagu popular kumpulan Beatles, lapor akhbar Daily Mail.

Amelia-Rose Hamilton, 27, mula diserang migrain hemiplegik sejak tiga minggu lalu sebelum tiba-tiba lupa nama sendiri, tidak mampu bercakap dan berada dalam kekeliruan sejak 2 Mac lalu.

Bagaimanapun, dengan bantuan bekas pensyarah muziknya, Professor Grenville Hancox yang membawa gitar ketika melawat Hamilton di hospital, wanita muda itu kembali bersuara dengan menyanyikan lirik lagu berjudul Yesterday di Hospital Pembury di Kent, Britain.

“Saya merasakan seperti kabus tebal yang menyelubungi otak sudah hilang. Kesukaran bercakap dan kekeliruan itu mula hilang dan saya nampak satu laluan jelas. Saya mahu menyanyi dan otak saya lakukan selebihnya,” kata Hamilton selepas itu.

Doktor mulanya menyangkakan Hamilton mengalami strok tetapi kemudian disahkan mengalami migran hemiplegik. Kakitangan hospital terkejut apabila wanita muda itu mampu menyanyi dengan lirik tepat selepas empat hari membisu.

Hamilton pernah berdepan kesukaran bersuara sejak berumur 8 tahun disebabkan penderaan. Masalah itu selesai sewaktu dia bertemu Hancox di universiti. Pensyarah muzik itu kemudian berjaya memulihkan kemampuan Hamilton untuk bercakap pada ketika itu. – Agensi

Loading...