Pulau Di Mersing Ditutup Musim Tengkujuh

JOHOR BAHRU – Pulau-pulau pelancongan di daerah Mersing dijangka ditutup pertengahan atau akhir bulan ini berikutan musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata bagaimanapun penutupan itu bergantung kepada keadaan cuaca.

“Kesemua pulau itu dijangka ditutup sehingga Mac tahun depan. Penutupan pulau di Mersing ini tidak termasuk pulau persendirian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Car Free Day, JB Wake Up!’ dan pelancaran Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, di sini hari ini.

Beliau berkata antara pulau yang dijangka ditutup itu adalah Pulau Pemanggil, Pulau Sibu, Pulau Tinggi dan Pulau Aur.

Sementara itu, mengenai kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, Liow berkata ia dilaksanakan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) selama tiga bulan bermula bulan ini sehingga Disember bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Kesedaran seperti ini bertujuan menghentikan keganasan ke atas wanita bukan hanya dilakukan ketika kempen sahaja tetapi ia merupakan aktiviti yang perlu dilakukan sepanjang tahun,” katanya.

Tambahnya, antara aktiviti dijalankan untuk memupuk kesedaran menerusi kempen itu termasuklah seminar kesedaran bersama orang ramai dan pengedaran risalah berkaitan keganasan terhadap wanita di tempat-tempat awam.

Menurut Liow, sejak 2013 hingga Mei lepas, Johor mencatatkan 3,423 kes keganasan rumah tangga yang menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Katanya, statistik menunjukkan sebanyak 583 kes keganasan rumah tangga dicatatkan di negeri ini pada 2013, 541 kes (2014), 633 kes (2015), 671 kes (2016), 681 kes (2017) dan 315 kes (sehingga Mei 2018) sekali gus menjadikan Johor negeri kedua tertinggi kes berkenaan selepas Selangor dengan 4,064 kes. – BERNAMA

Loading...