Pukul Pengawal: Lan Pet Pet Didenda RM2,000

SEREMBAN – Pelawak terkenal Lan Pet Pet atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, 49, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Seremban hari ini selepas mengaku salah memukul seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pada 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pelawak itu terlebih dahulu dibawa ke Mahkamah Seremban bagi berhadapan tuduhan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Tertuduh yang merupakan seorang pelakon mengaku salah pagi ini dan dihukum denda sebanyak RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan kepada petugas media di sini, hari ini.

Kosmo! Online pada 8 April lalu melaporkan seorang pelawak terkenal disiasat polis kerana disyaki memukul seorang lelaki warga emas berusia 68 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman perumahan Acacia Park Desa Jati di Nilai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, pelawak tersebut dipercayai menumbuk muka pengawal keselamatan berkenaan, Yahya Manap sebanyak tiga kali sebelum menendang mangsa.

Dia yang pernah menganggotai sebuah kumpulan pelawak dipercayai berang kerana ditegur tidak membuat catitan dalam buku pelawat semasa memasuki kawasan perumahan itu. – K! ONLINE