Puad, Lokman Bidas Mahathir Anggap Video Seks Bukan Isu Moral

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO hari ini membidas kenyataan Tun Dr. Mahathir yang dianggap moral tidak penting dalam berpolitik.

Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengenai video lucah kontroversi itu merupakan satu kesalahan politik.

“Komen beliau dalam blognya mengenai isu video Azmin dan Haziq amat berbahaya. Pada beliau moral tidak penting dalam politik.

“Kerana pada Tun M, video itu bukan masalah moral. Ia masalah politik. Saya akan selesaikan secara politik.

“Apakah rakan-rakan dalam PKR dan PAN (Parti Amanah Negara) setuju? Sepatutnya keutamaan beliau adalah kebenaran dan moral,” soal Puad dalam satu kenyataan hari ini.

Sedangkan semasa menjadi perdana menteri keempat lalu, Mahathir pernah menyatakan dirinya tidak akan membenarkan seorang peliwat memimpin negara semasa krisisnya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tun, jangan jadikan Malaysia Baru seperti ‘Negara Edan’, meninggalkan rakyat dalam kepungan ‘api dan asap’,” pintanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi ahli MT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kenyataan Mahathir itu bukti beliau seorang yang tidak pernah mempedulikan soal moral pemimpin kerajaan.

“Tun M kata bukan masalah moral. Dia memang tahu itu Azmin Ali (dalam video) namun Azmin satu-satunya harapan dia dan keluarganya selamat,” dakwanya dalam rakaman video di media sosialnya hari ini.

Malah beliau mendakwa Mahathir juga melakukan perkara yang sama ketika membela pengikutnya seperti Datuk Seri Rahim Thamby Chik dan Datuk Seri Rafidah Aziz satu ketika dahulu. – MalaysiaGazette

Loading...