PTPTN Sedia Pertimbang Rayuan Peminjam

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia mendengar rayuan peminjam yang memerlukan pertimbangan khas berhubung kaedah bayaran balik PTPTN menerusi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB).

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan dalam kenyataan hari ini berkata beliau mengambil maklum pandangan dan cadangan yang disuarakan susulan pengumumannya semalam berhubung pelaksanaan skim itu sebagai kaedah bayaran balik bermula Januari tahun depan.

“Saya mendengar kegusaran mereka dan saya bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas. Ada yang menyatakan bahawa mekanisme PGB adalah bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani,” katanya.​​​​​​​

Beliau menjelaskan bahawa melalui perjanjian yang ditandatangani itu, peminjam telahpun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa juga skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan.​​​​​​​

Berhubung komen mengenai kuasa majikan membuat potongan gaji, beliau berkata di bawah Seksyen 29, Akta PTPTN 1997 memperuntukkan kuasa kepada perbadanan itu untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

Wan Saiful berkata dasar baharu PTPTN itu adalah bagi memastikan perbadanan berkenaan dapat terus membantu generasi yang akan datang.

“Kerajaan mempunyai pilihan adakah mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini, atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak-anak kecil hari ini mempunyai dana untuk masuk institusi pendidikan tinggi pada masa akan datang.

“Ini bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan dua kelompok yang mempunyai keutamaan yang berbeza. Keputusan kerajaan ini saya yakin akan memastikan bahawa PTPTN lestari demi kebaikan anak-anak kita,” tambahnya. – BERNAMA​​​​​​​

Loading...