PTPTN Hubungi 6 Agensi Kumpul Maklumat Majikan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama dengan enam agensi bagi mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran majikan peminjam untuk melaksanakan Potongan Gaji Berjadual (PGB) bermula Januari depan.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jai berkata agensi terbabit ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Persaraan, Jabatan Akauntan Negara, Urusan Gaji Angkatan Tentera dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

PGB ini adalah untuk peminjam yang gajinya mencecah RM2,000 sebulan dan berdasarkan maklumat yang diperoleh, PTPTN akan mengeluarkan arahan potongan gaji mengikut peratusan tertentu kepada majikan dan majikan bertanggungjawab membuat potongan itu, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Wan Saiful berkata PGB lebih adil kerana dapat memastikan mereka yang kurang berada tidak terbeban sementara yang kaya pula tidak boleh mengambil kesempatan.

Katanya bagi peminjam berpendapatan RM2,000-RM2,499.99, dia perlu membayar dua peratus iaitu RM40 hingga RM49.99 dan bagi yang berpendapatan RM2,500-RM2,999.99 sebanyak tiga peratus (RM75-RM89.99).

Peminjam berpendapatan RM3,000-RM3,999.99 pula dikenakan lima peratus (RM150-RM199.99); RM4,000-RM5,999.99 (lapan peratus iaitu RM320-RM479.99); RM6,000-RM7,999.99 (10 peratus iaitu RM600-RM7999.99) dan bagi yang berpendapatan RM8,000 ke atas perlu membayar 15 peratus iaitu RM1,200 dan ke atas.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelaksanaan PGB antara 2.0 hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam yang menerima lebih RM1,000 sebulan selain pengecualian bayaran bagi golongan B40 sekiranya graduan memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama.

Bagaimanapun minggu lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata pemotongan gaji bagi peminjam berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari ini.

Beliau turut mengumumkan kerajaan memutuskan pengecualian bayaran balik bagi peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama diperluas kepada isi rumah golongan pertengahan M40.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata bagi peminjam yang tidak termasuk dalam penggajian mana-mana majikan, mereka dikehendaki membuat pengesahan maklumat pendapatan melalui portal PTPTN bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan ansuran bayaran balik berdasarkan peratus pendapatan.

Bagi peminjam yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan, mereka tidak perlu membayar sehingga gaji mereka mencecah RM2,000.

Kira-kira 225,000 peminjam dikenal pasti berpendapatan kurang daripada RM2,000 akan menikmati pelepasan ini.

Bagi menggalakkan majikan yang membantu membayar PTPTN untuk pekerja sepenuh masa, majikan layak menikmati potongan cukai ke atas jumlah bayaran balik, baik yang dibayar secara ansuran mahupun sekali gus.

“Syaratnya ialah majikan tidak boleh mengenakan apa-apa syarat atau tuntutan kepada pekerja setelah bayaran dibuat,” katanya.

Katanya majikan boleh menjadikan penyelesaian hutang PTPTN sebagai insentif kepada pekerja cemerlang atau insentif merekrut pekerja baharu,

Sementara itu, Wan Saiful berkata bagi peminjam yang tidak mempunyai majikan tetapi ingkar walaupun mampu, mereka akan dikenakan tindakan.

“Jika sebelum ini kita memansuhkan hukuman memasukkan nama mereka dalam senarai hitam imigresen (tidak dibenarkan keluar negara), hukuman menyenaraikan nama mereka dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat )CCRIS) serta saman tetap dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA

Loading...