PTPTN Bukti Kesilapan Dasar Tun M Sendiri

BARU-BARU ini Tun Dr. Mahathir selamba hina peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) konon sebagai tidak amanah bayar balik pinjaman setelah mereka tamat belajar.

Kenyataan biadab Perdana Menteri dengan usia tertua di dunia tersebut nyata berjaya mengecewakan puluhan ribu peminjam yang harap kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan pinjaman itu untuk diubah sebagai biasiswa.

Malahan, penghinaan secara terbuka Mahathir terhadap mereka jelas bercanggah dengan janji manis manifesto PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu kononnya hapus PTPTN dan berikan pendidikan percuma di universiti.

Terkesan dengan isu itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii tampil dedah Mahathir sebagai gagal dalam mewujudkan sistem pendidikan negara yang kompetitif setelah mewujudkan PTPTN.

Beliau menerusi satu kenyataan media di ibu negara hari ini berkata, PTPTN bukan sahaja telah ‘didik’ rakyat khasnya generasi muda untuk berhutang, malah seolah-olah menjadikan bidang pendidikan sebagai ‘lubuk’ wang.

Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:

PTPTN sudah wujud semenjak tahun 1997. Ia adalah kegagalan dasar Mahathir dalam mewujudkan sistem pendidikan yang kompetitif di negara.

Sebelum wujud dasar ini, selain dari ibu bapa, kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta sering kali dijadikan tempat untuk mengadu bagi anak-anak melanjutkan pelajaran.

“Belajar pandai-pandai nak, nanti boleh apply biasiswa, boleh apply JPA ataupun Petronas,” itulah ungkapan sering kali diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka, namun selepas 1997 ia bukan lagi seperti itu.

Bermula saat itu, kerajaan sudah mula lari daripada tanggunjawab pendidikan serupa juga GLC dan juga syarikat-syarikat besar. Pada 1997, PTPTN ini diwujudkan, lambakan kolej swasta tanpa ada kawalan dibuka.

Ia tumbuh macam cendawan lepas hujan, kroni Mahathir buka kolej swasta ini tanpa fikirkan kualiti pembelajaran, apa yang mereka tahu adalah dapat ‘database’ lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kementerian Pelajaran.

Mereka mempromosikan pembelajaran dengan PTPTN, mereka mempergunakan sistem ini dengan salah dan tidak ada yang menegur. Mahathir juga adalah pemimpin yang bertanggungjawab mewujudkan masyarakat berhutang.

Anak-anak seawal umur 17 tahun sudah diajar berhutang, anak-anak ini tidak boleh disalahkan kerana mereka belum tahu menguruskan kewangan dalam jangka hayat yang muda.

Sebab itulah, keluar sahaja duit awalan PTPTN, apa yang mereka buat adalah beli motosikal, beli ‘handphone’, dan pelbagai keperluan untuk mereka, bukan dibelanjakan untuk perkara asas untuk belajar.

Selepas sahaja tamat pengajian, mereka sukar mendapat pekerjaan disebabkan mereka tidak ada kualiti, kolej swasta yang hanya mahu mencari untung, bukan mahu melahirkan graduan yang pandai lagi bijaksana.

Dan ini adalah hakikat sebenar di bawah yang sering kali pemimpin seperti Mahathir terlepas pandang, sentiasa menyalahkan rakyat yang tidak amanah, walhal pada ketika tahun 1997, kerajaan dengan masalah kewangan terus menekan rakyat dengan kewujudan PTPTN dengan niat untuk mengurangkan beban kerajaan.

Tidak dapat dinafikan ramai anak muda yang berjaya dengan PTPTN namun jumlah itu tidak jauh beza dengan jumlah sebelum kewujudan PTPTN.

Kegagalan Mahathir adalah apabila memilih jalan Menswastakan Pendidikan Negara!

Masih ingat lagi, pada masa itu, semua institute pengajian tinggi awam (IPTA) mengalami kenaikan yuran mendadak, peningkatan sehingga 10 ke 20 kali ganda semata-mata dengan wujudkan PTPTN, ini dikatakan harapkan pegar, pegar makan padi, seluruh kepimpinan kerajaan termasuk dalam bidang pendidikan melihat wang ringgit sebagai keutamaan dalam pendidikan.

Ke mana kos pendidikan ini pergi kalau bukan ke kantung hutang pelajar? Sementara kerajaan menikmati keselesaan bajet yang kurang untuk mengurus universiti, universiti pula mengambil untung di dalam mendidik.

Dan masalah yang Mahathir tinggalkan kepada kepimpinan selepas itu adalah untuk melayan permintaan rakyat yang kompleks dengan pembangkang yang sering memanupulasi keadaan sehingga rakyat lupa akan tanggungjawab sebenar kerajaan.

Mahathir hari ini menjawat jawatan Perdana Menteri sekali lagi, beliau malu dengan masyarakat yang beliau sendiri wujudkan, dan ini semua tidak lagi terlewat sekira beliau sedar akan kesilapan beliau apabila menukar dasar Pendidikan Negara pada tahun 1997.

Jangan lagi menyalahkan rakyat, rakyat hanya mengikut dasar apa yang terhidang kepada keadaan yang dicipta oleh kerajaan.

Ini adalah diantara kegagalan Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini.