PRU14: Iskandar Puteri Ujian Terbesar MCA

PARLIMEN Iskandar Puteri, yang sebelum ini dikenali Gelang Patah, menjadi satu ujian paling utama bagi MCA, parti komponen BN yang ditolak pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada PRU13, Lim Kit Siang dari DAP mengalahkan calon BN bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Kekalahan mengejutkan itu menunjukkan bagaimana pengundi Cina membuat keputusan untuk terus menyerahkan undi kepada DAP.

Undian majoriti pengundi Cina itu menunjukkan pada PRU13 BN sudah tidak mendapat kepercayaan orang Cina.

Mereka merasakan yang DAP yang menjadi komponen pakatan pembangkang pada masa itu bakal memenangi Putrajaya.

Kerana kepercayaan ini, mereka mengundi Kit Siang untuk menghantarnya ke Parlimen, menjadi salah seorang pemimpin utama dalam kerajaan baharu yang diidamkan.

Tetapi selepas menang, Kit Siang yang suka berpindah tempat itu mengabaikan pengundinya dan dikatakan tidak kelihatan di Gelang Patah kecuali masa ceramah politik.

Menjelang setahun PRU14, beberapa kain pemidang menyindir Ahli Parlimen Gelang Patah itu kerana “hilang” telah muncul di banyak lokasi di sana.

Mungkin kerana sudah terlalu biasa berpindah kawasan dan kerana mengutamakan kepentingan politik partinya daripada rakyat, Kit Siang tidak turun ke Gelang Patah.

Kit Siang menang di Gelang Patah sekadar untuk menambah jumlah kerusi Parlimen dan memastikan kedudukan dalam kerajaan Pakatan Rakyat pada masa itu.

Kini selepas lima tahun, rakyat Gelang Patah yang kini dikenali Iskandar Puteri berhadapan dengan satu pilihan yang akan menentukan nasib mereka masa depan.

Bagi MCA, parti orang Cina dalam BN, pilihan raya kali ini ialah ujian kesungguhannya melawan DAP, dan ujian kesungguhan sebagai anggota komponen BN.

Dalam PRU14 ini, MCA menurunkan Datuk Jason Teoh Sew Hock, pengerusi MCA Gelang Patah untuk menentang Kit Siang dan merampas kerusi Iskandar Puteri daripada DAP.

Kali ini, calon berbangsa Cina dari MCA yang berdepan dengan Kit Siang, dan bukan Melayu seperti dalam PRU13.

Sekiranya pengundi Cina secara blok menolak bekas Menteri Besar Johor Abdul Ghani, penentang Kit Siang kali ini bukan sahaja seorang Cina tetapi juga orang tempatan.

Parlimen Iskandar Puteri inilah ujian paling besar bagi MCA dalam PRU14 ini, untuk memastikan BN terus kukuh di Johor dan MCA kekal relevan dan terus boleh dipercayai sebagai rakan BN. – Mynewshub.cc

Loading...