Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Banjir Di Johor Bahru...

JOHOR BAHRU : Banjir di Johor Bahru pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara...

PPBM NS Terima Permohonan...

JELEBU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr...

15 Polis Mexico Mati...

GUADALAJARA, Mexico - Sekurang-kurangnya 15 pegawai polis terbunuh dalam serangan hendap kumpulan penjenayah...

UiTM IPT Pertama Dunia...

PUTRAJAYA - Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di...

PRU14: Anggota Keselamatan Tunai Tanggungjawab

KUALA LUMPUR – Pengundian awal hari ini bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melibatkan sejumlah 278,590 anggota keselamatan termasuk pasangan mereka berjalan lancar di 586 pusat mengundi di seluruh negara setakat 10 pagi ini.

Ia berlangsung empat hari sebelum hari pengundian PRU14 iaitu 9 Mei. Parlimen dibubarkan 7 April lepas bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum berkenaan.

Anggota pasukan keselamatan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka dilihat berkumpul sejak awal pagi di pusat-pusat mengundi sebelum pengundian bermula 8 pagi.

Di ibu negara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengundi di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

Antara pusat pengundian awal lain yang dibuka di sini ialah di Kompleks Sukan, Hospital Tentera Tuanku Mizan; Kem Perdana Sungai Besi dan Sekolah Kebangsaan Kementah, Jalan Padang Tembak.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Kementah.

Di PULAU PINANG, 31 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri bagi pengundian awal melibatkan 11,613 orang.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Md Fuad Mohd Sherif berkata ia merangkumi 6,136 anggota polis dan pasangan serta 5,477 anggota tentera serta pasangan.

Di KELANTAN, 41 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri termasuk lima kem tentera dan 36 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, turut meninjau proses pengundian awal di pusat pengundian Batalion Pertama Rejimen Sempadan Kem Batu 11, Tanah Merah.

Di SELANGOR, pengundian awal melibatkan 25,462 warga polis dan tentera di 40 pusat mengundi yang dibuka di IPD dan kem tentera.

Antara yang melaksanakan hak itu ialah Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

Calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim turut meluangkan masa meninjau pengundian awal di IPD Kuala Selangor.

Di KEDAH, proses mengundi awal itu membabitkan 10,211 anggota tentera dan 7,101 anggota polis serta pasangan di 24 pusat mengundi.

Di Langkawi, 1,588 didaftarkan sebagai pengundi awal dengan dua pusat mengundi dibuka di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi dan Dewan Rahah, Markas Wilayah 3 Tentera Laut Diraja Malaysia
Turut kelihatan meluangkan masa meninjau proses pengundian awal ialah calon PKR-Amanah bagi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar di IPK Kedah.

Di PUTRAJAYA, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan adalah antara individu terawal melakukan proses pengundian awal yang dimulakan pukul 8 pagi. Sejumlah 823 anggota polis IPD Putrajaya layak menunaikan tanggungjawab itu.

Di SARAWAK, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin di Kuching merupakan antara pusat mengundi untuk pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka, dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim antara yang terawal berbuat demikian.

Di Miri, pengundian awal hanya membabitkan anggota polis yang berlangsung di Dewan Ruai Kenyalang, IPD Miri dan Dewan Mustapha Batalion ke-12 PGA Miri.


Di MELAKA, sejumlah 12,268 anggota tentera dan 2,904 anggota polis serta pasangan mereka layak mengundi awal di 31 pusat mengundi di seluruh negeri, dengan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berbuat demikian di IPK Melaka di Bukit Beruang.

Calon BN Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam turut meninjau pengundian awal di IPK Melaka.

Di PERAK, menurut rekod, Parlimen Lumut mempunyai pengundi awal paling ramai di negeri itu iaitu 11,900 orang, termasuk 11,223 yang boleh berbuat demikian di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan TLDM dan Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM.

Sebanyak 71 pusat mengundi di seluruh negeri beroperasi hari ini untuk memberi kemudahan kepada 23,634 anggota tentera dan 13,773 polis serta pasangan mengundi awal.

Di JOHOR, keadaan tenang dan teratur dapat dilihat ketika tinjauan dibuat di tiga lokasi utama pusat mengundi awal iaitu IPK Johor di Johor Bahru, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram dan Kem Mahkota di Kluang. Sebanyak 67 pusat mengundi dibuka di negeri ini.

Di Kem Mahkota, Panglima 7 Brig. Jen. Datuk Mohd Hassan Loman turut meninjau proses pengundian awal di kem berkenaan yang melibatkan 5,074 anggota dan pasangan mereka.

Calon BN Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim dan lawannya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PKR-PPBM) juga kelihatan menyantuni pengundi awal di Pusat Taman Perumahan PDRM Parit Perupuk, Muar.

Di TERENGGANU, gelagat perayu undi turut mencuri tumpuan sama ada daripada BN, PAS mahupun PKR. Pengundian dilaporkan berjalan lancar dengan 7,482 orang didaftarkan sebagai pengundi awal.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dilihat meninjau situasi pengundian awal di Kem Batalion 9, PGA Gong Badak. Turut dibuka sebagai pusat mengundi ialah IPK Kuala Terengganu, Kem Seri Pantai Seberang Takir dan Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak, Besut.

Di PAHANG, 21,358 anggota tentera dan polis serta pasangan masing-masing layak mengundi awal di 48 pusat mengundi yang antara lain dibuka di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Dewan Badminton Perumahan Polis Alor Akar dan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kem Batu 10.

Di SABAH, 53 pusat pengundian awal dibuka dengan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan isteri, Datin Mariam Suri Ahmad mengundi di Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Di pusat pengundian MES Pegawai Kanan IPK Sabah di Kepayan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din merupakan antara yang awal mengundi.

Di NEGERI SEMBILAN, 5,608 anggota polis dan 14,156 anggota tentera serta pasangan layak mengundi awal hari ini di 38 pusat mengundi yang dibuka untuk tujuan itu.

Dalam pada itu di PERLIS, Pengarah SPR negeri, Ahmad Ibrahim Mohd Tayib berkata 11 pusat pengundian awal disediakan di seluruh negeri iaitu empat di Parlimen Padang Besar, tiga di Parlimen Kangar dan empat di Arau.

Sejumlah 2,047 anggota tentera dan 2,073 anggota polis serta pasangan layak mengundi awal di negeri berkenaan. – BERNAMA

Kategori