PRU Lebih Awal Elak Kesan Lebih Buruk – Najib

PEKAN – Pembubaran Parlimen perlu dilakukan lebih awal bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) diadakan berbanding tempoh matangnya pada 2023.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keperluan mengadakan PRU lebih awal disifatkan berupaya menyelesaikan kekalutan serta kecelaruan politik yang sudah berlarutan sekian lama termasuk menentukan kedudukan majoriti dalam kerajaan.

“Ia (PRU) perlu dilakukan cuma perlukan masa yang sesuai sahaja. Itulah penyelesaian yang tuntas bagi menyelesaikan kemelut politik pada hari ini.

“Pokok pangkalnya tak dapat lari daripada menyerah atau mendapatkan mandat baharu daripada rakyat sebab kita mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Macam mana pun mesti berasas kepada suara dan sokongan rakyat dan rakyat memilih wakil-wakil ahli Parlimen yang boleh membawa kepada kerajaan yang kukuh dan stabil,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Borang Keahlian Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Pekan di Dewan Bakti Felda Chini 5 di sini semalam.

Hadir sama, Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Negeri Pahang dan Daerah Pekan, Datuk Melati Ali dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ishak Mohd.

Mohd Najib berkata, meskipun PRU menelan belanja yang besar, namun tanpa kerajaan yang kukuh, ia tetap memberi kesan yang buruk kepada ekonomi negara.

“Kalau nak ukur nilai ekonomi ni pun kos jauh lebih besar daripada kos pilihan raya.

“Misalnya kalau tidak ada pelabur, bursa saham jatuh dan kita perlu buat pinjaman dan sebagainya, ini membuat nilai ekonomi kita merudum dan ini melibatkan kos lebih besar,” katanya. – Sinar Harian

Loading...