Proton X70 Dijangka Masuki Pasaran Thailand, Indonesia

PETALING JAYA – Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd, sedang membangunkan arahan suara dalam bahasa Thailand dan Indonesia untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, X70, membayangkan kedua-dua negara itu dijangka menjadi antara destinasi eksport pertama untuk kenderaan itu.

Enggan mendedahkan butiran mengenai rancangan eksport Proton, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Abdul Rashid Musa berkata syarikat turut mendapat hak pembangunan teknologi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan pengeluaran daripada rakan strategiknya dari China, Zheijang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan perjanjian yang dimeterai antara DRB-Hicom Bhd dan Geely iaitu Malaysia akan menjadi hab serantau pengeluar kereta dari China itu untuk teknologi RHD.

“Malaysia akan menjadi hab (untuk RHD) kerana Geely Group hanya mengeluarkan kereta dengan pemanduan sebelah kiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis pratonton Proton X70 yang kedua di sini hari ini.

Pada sesi itu, Abdul Rashid berkata Proton X70 akan dilengkapi dengan Geely Smart Ecosystem, sistem interaksi kokpit pintar yang mempunyai monitor skrin sentuh lapan inci, arahan suara, sambungan telefon pintar, aplikasi infotainment dalam talian Android, teknologi over-the-air dan tetapan peribadi.

“Ia akan turut dilengkapi dengan ciri-ciri kawalan jauh yang membolehkan pemilik kereta memeriksa dan mengawal kenderaan itu di mana sahaja, pada bila-bila masa, melalui aplikasi mudah alih,” katanya, sambil menambah Proton akan bekerjasama dengan Celcom untuk sistem e-kad SIM SUV.

Dijana dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI), Proton X70 akan turut menawarkan ciri-ciri keselamatan terkini termasuk brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, sistem maklumat titik buta, amaran pertukaran lorong dan kawalan lampu tinggi pintar.

Abdul Rashid berkata syarikat menerima sambutan yang menggalakkan daripada bakal pembeli sejak kenderaan itu dibuka untuk tempahan pada 8 Sept, dan Proton komited untuk menyerahkan beberapa kenderaan itu pada tahun ini.

Katanya tempahan secara dalam talian boleh dibuat mulai 17 Okt. – BERNAMA

Loading...