Proton Kekal Berkongsi Pasaran TIV Lebih 10 Peratus Pada November

KUALA LUMPUR – Pengeluar kereta tempatan, Proton, kekal berkongsi pasaran lebih 10 peratus dalam jumlah jualan kenderaan keseluruhan industri (TIV) pada November, disokong oleh strategi harga menarik dan dasar harga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sifar.

Pada November, syarikat itu menjual 4,820 buah kereta, membabitkan anggaran 10.2 peratus perkongisan pasaran TIV.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, syarikat pengedar Proton, Abdul Rashid Musa berkata menerusi promosi, syarikat menyerap amaun cukai bagi semua model dan langkah itu menarik minat pembeli.

“Proton meneruskan dasar harga SST sifar bagi semua model sedia ada bagi memudahkan pelanggan kami untuk memiliki kereta Proton. Malangnya, wujud kekangan bekalan pada November, mengehadkan jumlah kereta yang kami dapat serahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Disember 2018, Abdul Rashid berkata Proton akan meraikan kejayaannya baru-baru ini pada perlumbaan 1000km Endurance Race (S1K) 2018 di Sepang dengan promosi bertajuk, “Rebat Juara” sehingga RM3,000 bagi empat jenamanya iaitu Ertiga, Iriz, Persona dan Saga.

“Proton percaya dengan nilai sukan permotoran dalam mengetengahkan jenama dan produknya, jadi kami akan terus mengambil bahagian dalam perlumbaan dan rali di masa depan dengan Pasukan Proton R3,” katanya.

Beliau berkata bersempena musim cuti, Proton juga menawarkan pemeriksaan keselamatan 18-mata percuma bagi semua model Proton di semua pusat servis bertauliahnya bermula 4 Dis dan berterusan sehingga akhir Februari 2019, dengan mengambil kira musim perayaan utama. – BERNAMA

Loading...