Protes Ves Kuning Di Taiwan Tentang Cukai Tinggi

BERIBU orang rakyat Taiwan pada Khamis berarak menuntut cukai lebih rendah dan pengadilan pertikaian cukai lebih adil.

Mereka meniru protes ves kuning di Perancis dengan mengenakan ves seperti itu dan berarak buat kali ketiga dalam bulan ini.

Mereka melaungkan slogan dan meniup hon di luar bangunan kementerian kewangan di Taipei, serta membawa kain pemidang tertulis menggelar dasar pungutan cukai Taiwan sebagai menyalahi undang-undang.

“Ini melibatkan masa depan kita,” kata Joanna Tai, graduan bahasa Inggeris berusia 23 tahun yang merancang untuk mula mengajar tahun depan.

“Kami lihat gaji di Hong Kong dan tanah besar China. Kami mahu tahu kenapa jurang terlalu besar dengan Taiwan,” katanya.

“Ramai kenalan saya mahu memulakan syarikat sendiri dan menjadi bos sendiri, tetapi kerana cukai tinggi, banyak bisnes kecil terpaksa gulung tikar.”

Kumpulan aktivis menuntut reformasi cukai ini ditubuhkan pada 2016 ini mengadakan protes selepas berjaya mengumpulkan sekitar 20,000 orang berkumpul di depan pejabat presiden dalam protes pertama minggu lepas, dan 10,000 orang pada Sabtu, menurut penganjur dan media tempatan. – Agensi

Loading...