Prosiding Komital Tak Jejas Keputusan Inkues Adib

SHAH ALAM – Prosiding permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim terhadap peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak akan memberi kesan kepad keputusan inkues anggota bomba itu Jumaat ini.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, keputusan inkues pada Jumaat ini tetap diteruskan walaupun terdapat notis rayuan difailkan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Koroner yang membenarkan permohonan komital itu pada 27 Ogos lalu.

Menurutnya, Mahkamah Koroner merupakan badan bebas dan prosiding komital terhadap Peguam Negara itu tidak akan menjejaskan keputusan inkues.

“Keputusan inkues dan prosiding komital adalah dua perkara berbeza.

“Keputusan yang akan diberikan Koroner adalah penyebab kematian Muhammad Adib dan permohonan komital pula berkaitan perkara yang tercetus selepas Tommy mengeluarkan kenyataan bahawa anggota bomba itu tidak dipukul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat pengurusan kes prosiding komital terhadap Tommy di luar Mahkamah Koroner di sini sebentar tadi.

Terdahulu, dalam prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy yang mewakili Peguam Negara memberitahu, pihaknya sudah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan berhubung membenarkan prosiding komital dimulakan.

Katanya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa notis rayuan yang sebelum ini difailkan sebagai rayuan sivil ditukar kepada rayuan jenayah.

Rofiah kemudiannya menetapkan 7 Oktober ini sebagai pengurusan kes komital terhadap Peguam Negara.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd. Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pada 3 April lalu, afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara itu yang disahkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang. – K! ONLINE

Loading...