“Hanya Nelayan Tulen Diberi Elaun Sara Hidup”

KUALA TERENGGANU – Proses pemutihan terhadap penerima Elaun Sara Hidup (ESH) nelayan kini giat dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang berkelayakan sahaja memperoleh manfaat itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata proses itu melibatkan 55,000 penerima sebelum ini di seluruh negara dan keutamaan diberikan kepada ‘nelayan tulen’.

Antara syarat yang dikenakan ialah nelayan perlu turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun.

“Pemutihan ini perlu kerana ia (bantuan) sepatutnya diberi kepada kumpulan sasar yang sebenar. Jangan ada penipuan di situ. Ini ada yang tak jadi nelayan pun dapat insentif itu,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama pemimpin nelayan Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim.

Menurut Salahuddin, proses pemutihan itu juga penting bagi membolehkan pengumpulan data terkini nelayan sekali gus memudahkan pemberian insentif baharu kepada mereka yang benar- benar layak.

Selain itu, katanya kementerian juga sedang merangka pelan strategik untuk pertingkatkan insentif kepada nelayan dalam bentuk lain selain bantuan kewangan yang akan memberi kesan serta meningkatkan taraf hidup.

“Pelan tindakan sedang disiapkan oleh kementerian dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Kita juga telah mengenal pasti beberapa lokasi di setiap negeri untuk skim perumahan mampu milik nelayan,” katanya.

Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM13.6 billion untuk pembangunan sektor perikanan negara bermula tahun 2009 hingga 2016, termasuk bagi pembinaan pelabuhan kompleks perikanan, pembinaan jeti, pemberian subsidi minyak dan diesel serta ESH nelayan. – BERNAMA

Loading...