Proses Bedah Siasat Jenazah Nazrin Dilanjutkan – Polis

KUALA LUMPUR – Proses bedah siasat jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan masih dilanjutkan sehingga kini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu pakar patologi menyelesaikan proses bedah siasat sebelum jenazah dapat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara dekat sini.

“Proses bedah siasat telah dilanjutkan jadi kita akan menunggu sehingga ahli patologi selesai bedah siasat (ke atas jenazah) untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Fadzil berkata beliau tidak dapat menjangkakan berapa lama proses itu akan dilanjutkan setakat ini.

“Saya tidak tahu lagi sehingga bila. Bila pakar patologi selesailah,” katanya.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata jenazah Nazrin akan dikebumikan semula esok (Jumaat) selepas proses bedah siasat kali kedua itu dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula pada pukul 4 petang, Isnin lepas.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa itu.

Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya. – BERNAMA

Loading...