Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang Lulus Atau Tidak?

PETALING JAYA – MCA hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan status projek terowong dasar laut dan 3 jalan raya bernilai RM6.3 bilion berikutan perkembangan yang disifatkannya sebagai percanggahan antara kenyataan agensi itu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Presiden MCA, Wee Ka Siong memberitahu FMT, pada 17 April Chow mengisytiharkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan projek berkenaan kerana pihak yang dikatakan terbabit dalam siasatan agensi itu telah dilepaskan.

Chow berkata, SPRM menghantar 2 pucuk surat kepada Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) dan pengarah eksekutif kanannya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang melepaskan mereka daripada salah laku berikutan gesaan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) supaya projek itu ditangguhkan sementara mnunggu siasatan siap dijalankan.

Bagaimanapun menurut Wee, terkini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata maklumat terperinci mengenai penyiasatan aktif itu tidak boleh didedahkan.

“Jadi yang mana satu? Kes itu ditutup atau tidak?

“Jika ia (projek itu) belum diluluskan, bukankah ini bermakna Chow berbohong?”

Kerja pembinaan projek berkenaan dijadualkan bermula pada 2023.

Tiga jalan raya utama projek terbabit (sebelum ini 3 jalan berkembar) akan bermula di Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km); Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan persimpangan Jalan Pangkor-Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Kim Chong Eu (4.1km).

Sementara itu, terowong dasar laut sepanjang 7.2km akan menghubungkan Pangkor Road di George Town dengan Bagan Ajam di Butterworth.

Wee juga menggesa SPRM supaya menyiasat bagaimana projek itu diberikan lampu hijau sedangkan menurut Chow bulan lepas, kajian kebolehlaksanaannya belum siap.

“Dalam pada itu, 2 lot tanah telah diberikan kepada pemaju sebagai bayaran bagi menyiapkan kajian itu, selain bangunan kini dibina di situ.

“Di satu sudut lain, tiada satu inci pun projek 3 jalan raya atau terowong dasar laut itu telah dimulakan setakat ini. Jadi bagaimana?” – FMT

Loading...