Projek Sungai KL Idea Najib Antara 10 Terbaik Dunia

BANGGA… Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sorok berita kejayaan Projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) tersenarai dalam 10 daerah pesisir sungai terbaik di dunia akhirnya terbongkar.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hantaran menerusi akaun sosial Facebook beliau dedah berita gembira itu yang sengaja tidak diperbesarkan oleh pihak pentabiran PH akibat dendam politik.

Sebaliknya, mantan Menteri Kewangan antara terbaik di Asia itu dalam nada sinis bercerita kisah media tempatan terpaksa siar berita Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad terpegun menaiki tren MRT baru-baru ini!

Kebetulan, Najib catat hantaran itu setelah ‘lawat’ sejenak sekitar Masjid Jamek di ibu kota termasuk pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang jadi mercu tanda utama projek ROL sehingga tular dalam kalangan netizen.

Kunjungan secara mengejut beliau di kawasan tersebut turut tarik perhatian orang ramai yang tidak lepas peluang beramah mesra dengan bekas pemimpin itu ambil kesempatan berucap ringkas mengenai kejayaan projek ROL.

“Pada Disember 2018, saya baca artikel disiarkan Independent telah menyenaraikan ROL sebagai World’s 10 Best Waterfront Districts. Ini sebenarnya satu pengiktirafan yang baik dan bagi saya ini hanyalah permulaan juga.

“Projek ini masih lagi ada fasa-fasa yang perlu diusahakan. Banyak lagi juga idea untuk Kuala Lumpur yang belum sempat kami Kerajaan BN buat. Bayangkanlah jika semua inisiatif yang kita rancang dilaksanakan sepenuhnya.

“Sayang sekali saya tidak boleh lagi memantau kemajuannya dan memastikan projek ini berjaya. Kita doakan yang terbaik untuk Malaysia,” tulis Najib dalam nada kesal sambil berharap kerajaan PH tidak mansuhkan projek ROL.

Ironi, selepas lebih sebulan, agensi berita rasmi Bernama semalam menyiarkan berita positif itu tetapi aneh, semua media arus perdana tidak melaporkannya; mungkin kerana bimbang kejayaan ROL tidak beri imej baik kepada PH.

Independent, portal berita ternama dalam talian di Britain itu menekankan walaupun pusat bandar Kuala Lumpur dikelilingi banyak hotel mewah, namun kawasan bersejarah sekitar Masjid Jamek tetap jadi mercu paling menarik.

“Sebahagian besar bandar raya ini terletak di tebing Sungai Klang, yang jadi tumpuan ROL, satu misi regenerasi yang pernah digambarkan sebagai salah satu projek pemulihan sungai dalam bandar paling mahal pernah dibuat.

“Tetapi berbaloi kerana ada kafe di tepi sungai, air pancut berteknologi tinggi, laluan khas basikal dan pertunjukaan pencahayaan pada waktu malam yang tukar warna air menjadi kebiru-biruan menakjubkan,” puji Independent.

Projek ROL bernilai RM4.4 bilion itu dilancarkan Najib pada 2011 lalu dengan tujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Sungai Gombak yang sebelum ini terkenal dengan imej kotor, jijik dan berbau busuk. – Mynewshub.TV

Loading...