Projek Pembesaran, Naik Taraf LTSIP Bermula April

LAPANGAN Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini.

Pada tahun 2019, lapangan terbang ini mengendalikan 1.8 juta penumpang. Kapasiti LTSIP pada masa kini cuma mampu menampung 1.5 juta penumpang sahaja.

LTSIP perlu dibesarkan dan dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat.

Kerajaan telah bersetuju melantik WCT Bhd. sebagai kontraktor projek pembesaran dan menaik taraf LTSIP dengan kos sebanyak RM440 juta. Syarikat ini dijangka masuk tapak pada April 2021. Mengikut perancangan projek ini akan siap pada pertengahan tahun 2024.

Komponen utama projek ini melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka dan bina (design and build) dengan pengasingan balai ketibaan dan pelepasan.

Apabila siap kelak bangunan terminal baharu ini mampu mengendalikan 4 juta penumpang setahun.

Projek ini juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat. Jambatan udara (Aerobridge) akan ditambah lima lagi menjadikan jumlah keseluruhannya lapan jambatan selepas ini. Jalan keluar dan masuk ke lapangan terbang juga akan ditambahbaik. Kesemua ini akan meningkatkan lagi tahap keselesaan pengguna.

Projek lapangan terbang ini adalah salah satu projek terbesar di Kelantan. Projek ini akan meningkatkan kesaling hubungan di antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.

YB DATO’ SRI MUSTAPA MOHAMED
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (EKONOMI)