Projek Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara Diteruskan

PROJEK pembinaan Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara diteruskan berikutan komitmen yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan akan cuba mengurangkan impak daripada pembinaan lebuh raya yang dilancarkan pada Mac 2018.

Menurutnya, perjanjian pembinaan lebuh raya bertingkat itu antara kontrak yang ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) termasuk pembinaan kondominium di Taman Desa yang lantai tempat letak kereta di tingkat enam dilaporkan runtuh pada Jumaat lalu.

“Hakikatnya, semua perintah pembangunan, kontrak dan sebagainya semua sudah ditandatangani apabila kita ambil alih (kerajaan).

“Kita kena terima hakikat bahawa kerajaan baharu, mahu tidak mahu kena teruskan komitmen yang dibuat kerajaan lama.

“Kita boleh cuba mengurangkan impaknya, contohnya Taman Rimba Kiara dengan saya kecilkan skala pembangunan tetapi tidak boleh batalkan begitu saja kerana ada implikasi undang-undang.

“Kalau penduduk setuju nak biayai segala kerugian yang kerajaan atau DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) terpaksa tanggung, sekiranya membatalkan projek berhubung pembinaan itu, maka kita mungkin boleh duduk berbincang,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Hari Wilayah Persekutuan peringkat PLANMalaysia di Dewan Serbaguna Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Mohd Anuar Maidin dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan.

Beliau mengulas kenyataan dua Ahli Parlimen yang membidas pembinaan Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara yang sudah bermula, selain menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan.

Mengakui projek berkenaan sebelum ini dibantah oleh pemimpin pembangkang yang kini menjadi kerajaan, Khalid berkata, apabila pentadbiran sudah diambil alih, proses pembinaan projek termasuk di Taman Desa yang pernah dibantah Menteri Industri, Teresa Kok sudah berjalan, justeru tiada apa yang boleh dilakukan.

Menurutnya, isu sama juga berlaku dalam pembinaan lebuh raya bertingkat terbabit apabila kawasan berkenaan sudah membangun dengan kepadatan penduduk yang meningkat serta lalu lintas bertambah, ia kini diperlukan.

“Komitmen sudah ada dan pembangunan yang ada hubung kait dengan lebuh raya bertingkat itu memang sudah dibina.

“Pusat Bandar Damansara juga sudah dibangunkan jadi susah untuk kita apabila kita ambil alih untuk kita kata batalkan ia,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, pihaknya mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek lebuh raya bertingkat itu.

Dalam perkembangan lain, Khalid menolak dakwaan penduduk bahawa tapak projek kondominium di Taman Desa yang tempat letak keretanya runtuh minggu lalu adalah milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebaliknya ia sudah dipindah milik kepada pihak swasta sejak 2015 lagi.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kenyataan bersama hari ini berkata, mereka dimaklumkan kerja pembinaan sudah dimulakan, walaupun berdepan bantahan keras penduduk.

“Kami juga dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBBKL) bahawa projek RM211.5 juta jalan bertingkat itu sebahagiannya dibiayai oleh DBKL (RM100 juta) dan sebahagian lagi dibiayai syarikat Impian Ekspresi Sdn. Bhd. (RM111.5 juta),” katanya. – myMetro Online

Loading...