KUALA LUMPUR – Projek pembangunan hartanah bercampur di atas tanah milik Felcra Bhd di Jalan Semarak di sini, akan diteruskan walaupun lewat sedikit daripada jadual kerja asal, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, ​​​​​​​kelewatan tersebut berpunca daripada masalah aliran tunai Felcra dan pihak pengurusan agensi itu sedang berusaha bagi memastikan projek itu tetap diteruskan.

“Sekiranya kita mempunyai tawaran terbaik untuk menjana keuntungan (daripada) aset-aset ini, kita akan pertimbangkan termasuklah pilihan mengekalkan Menara Felcra bagi pengurusan Felcra dan kita menjual hartanah lain termasuk pangsapuri dan blok komersial kepada pasaran umum.

“Namun, ini tertakluk kepada tawaran yang diterima kerana kita tidak mahu menjual aset-aset dalam keadaan pulangannya tidak menguntungkan Felcra,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Projek di atas tanah seluas 1.63 hektar itu merangkumi ​​​​​​​menara pejabat setinggi 35 tingkat, lot pangsapuri servis 40 tingkat terdiri daripada 480 unit dan enam tingkat pusat perdagangan termasuk dua tingkat pusat konvensyen dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.1 billion.

Setakat 30 Sept 2018, kerja pembinaan telah mencapai kemajuan sebanyak 41.22 peratus dan lewat 96 hari daripada jadual kerja asal.

“Projek Jalan Semarak pada asalnya dicadangkan melalui konsep merekabentuk, membina dan membiayai dengan pihak kontraktor membina kesemua komponen pembangunan dan bertanggungjawab menyediakan pembiayaan pembangunan. Setelah siap, menara pejabat dan konvensyen itu akan diserahkan kepada Felcra.

“Namun setelah kerja ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat kontraktor, pihak kontraktor telah memohon (supaya) tanah Jalan Semarak dicagarkan kepada bank untuk urusan pembiayaan…cadangan ini tidak dipersetujui oleh Felcra.

“Bagi meneruskan projek dengan kebenaran Kementerian Kewangan dan perakuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, konsep pembangunan itu ditukar yang mana pihak kontraktor hanya berperanan sebagai kontraktor yang merekabentuk dan membina.

“Felcra melalui anak syarikat milik penuhnya, Felcra Properties menjadi pemaju dan menyediakan keseluruhan pembiayaan. Ini menyebabkan Felcra terdedah kepada risiko liabiliti kewangan,” katanya. – BERNAMA

Loading...