Projek ECRL Ada Kaitan Dengan 1MDB?

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesyaki projek ECRL yang diluluskan kerajaan terdahulu ada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan Pakatan Harapan berjaya mengurangkan kos pelaksanaan projek itu sebanyak RM21. 5 bilion kepada RM44 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

“Kita syaki perkara itu berlaku kerana kos projek sangat tinggi tetapi kita berjaya mengurangkan kos sebanyak hampir RM22 bilion.

“Projek yang dilaksanakan secara tender kita boleh mendapatkan harga yang lebih baik, tetapi projek itu (ECRL) diberikan secara terus kepada syarikat China,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai projek ECRL di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan ECRL ada kaitan dengan usaha kerajaan terdahulu mendapatkan bantuan kewangan daripada China bagi menyelesaikan hutang 1MDB.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menolak andaian keputusan kerajaan meneruskan ECRL ada kaitan dengan usaha kerajaan mengesan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam skandal 1MDB.

“Tiada kaitan dengan Jho Low, kita meminta bantuan kerajaan China mengesannya jika dia ada di China,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan semula projek ECRL secara tidak langsung memberi peluang kepada Malaysia untuk mengeskport lebih banyak minyak sawit ke China.

Perdana Menteri turut menjelaskan, kejayaan kerajaan mengurangkan kos projek ECRL akan turut mengurangkan kadar bunga dan lain-lain kos apabila projek itu dimulakan tidak lama lagi.

Kerajaan juga katanya, berjaya meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam projek itu kepada 40 peratus berbanding 30 peratus yang dipersetujui kerajaan terdahulu.

Ditanya punca kerajaan China bersetuju meneruskan projek berkenaan, Dr. Mahathir berkata, ini kerana kerajaan China sedar bebanan kewangan yang dihadapi Malaysia dan kos yang dipersetujui dahulu adalah terlalu tinggi.

“Kita dapat buktikan projek ini boleh dilaksanakan mungkin oleh syarikat tempatan pada harga lebih rendah. Itu sebab kerajaan China bersetuju,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...