Program STREAM Tabika Kemas Diperluas

JASIN – Kerajaan akan memperkenalkan pelbagai jenis modul pembelajaran untuk diterapkan di semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara mulai tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun berkata, menerusi program Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik atau `Science, Technology, Religion, Engineering, Arts and Mathematics’ (STREAM) ini, pihaknya menyasarkan sebuah Tabika Kemas di setiap negeri akan melaksanakan modul pembelajaran yang berbeza.

Menurut beliau, modul yang dilaksanakan di setiap negeri mungkin berbeza mengikut kesesuaian antaranya dalam bidang

robotik, automatif, marin dan kapal selam selain kerajaan mengharapkan penyertaan lebih banyak syarikat-syarikat swasta yang berkaitan dengan bidang tersebut.

“Kementerian berharap modul STREAM akan meningkatkan tahap kemahiran kanak-kanak apabila belajar di Tabika Kemas dan secara tidak langsung ia akan membentuk minat mereka selain menanam minat untuk menjadi seorang yang berjaya satu hari kelak.

“Projek perintis modul STREAM yang dilancarkan hari ini akan dikembangkan ke negeri-negeri lain mulai tahun hadapan dan kita sasarkan setiap negeri mempunyai sebuah Tabika Kemas yang menjalankan modul ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program STREAM Tabika Kemas 2018 di Tabika Kemas Pintar STREAM yang pertama di Chabau di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Norison Ramli; Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amirrudin Arifin dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi.

Selain itu turut hadir, dua wakil syarikat penaja program iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Madya Dr. Mohd. Nasir Ibrahim.

Program modul STREAM yang di Tabika Kemas Chabau ini melibatkan pembinaan model berasakan kepada syarikat penerbangan iaitu kapal terbang dilaksanakan dengan kos sebanyak kira-kira RM10,000 hasil kerjasama petugas tabika, ibu bapa dan dua syarikat penaja terbabit.

Menurut Rina, menerusi pembinaan model kapal terbang ini, ia sekali gus dapat menanam minat kanak-kanak untuk menjadi juru terbang satu hari nanti malah mereka didedahkan dengan asas kemudahan yang disediakan di lapangan terbang seperti kaunter daftar masuk, pemeriksaan dan urusan pasport. – UTUSAN ONLINE

Loading...