Program Pemutihan PATI Tidak Akan Dilakukan Kerap

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan mengadakan program pemutihan pekerja tanpa izin (PATI) secara kerap bagi mengelakkan golongan itu mengambil mudah undang-undang negara termasuk sengaja tinggal selepas pas tamat tempoh.

Timbalan Menterinya Datuk Mohd Azis Jamman berkata perkara berkenaan boleh menjadi budaya buruk di negara ini.

Atas sebab itu Jabatan Imigresen Malaysia bertindak tegas menerusi operasinya sebagai isyarat jelas kepada PATI bahawa KDN tidak akan berkompromi terhadap mereka, katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Chai Kim Sen yang ingin tahu jika kementerian akan melaksanakan hukuman sebat ke atas majikan yang menggaji PATI seperti dalam Seksyen 55B (3) Akta Imigresen 1959/63.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata operasi berhubung PATI akan diteruskan sehingga masalah tersebut selesai.

Sementara itu, beliau berkata KDN sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memperinci dan memperhalusi dasar pengambilan pekerja asing.

“Insya-Allah tidak lama lagi akan kita umumkan tentang polisi baharu ini termasuk bayaran-bayaran levi, syarat-syarat baharu khususnya bagi syarikat yang ingin mengambil pekerja asing,” katanya.

Terdahulu, menjawab soalan asal Chai, Mohd Azis berkata Jabatan Imigresen Malaysia telah menjalankan 40,306 operasi ke atas majikan yang menggaji PATI bagi tempoh 2016 hingga 31 Okt lalu yang menyaksikan 3,973 majikan ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen.

Selain itu, seramai 72 majikan telah didakwa menurut Seksyen 55B(3) Akta Imigresen 1959/63 bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Okt lalu, katanya. – BERNAMA

Loading...