Produk Bukan Islam Guna Tulisan Jawi Kelirukan Pengguna

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong larangan penggunaan tulisan jawi pada bungkusan produk dihasilkan pengusaha bukan Muslim.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pengguna keliru dengan syarikat pengusaha mahupun usahawan bukan Islam menggunakan tulisan jawi.

“Ramai rakan kita yang bukan Islam membantah pendidikan jawi di peringkat sekolah atas alasan ia langkah islamisasi.

“Oleh itu, kita setuju dengan pendapat mereka yang meletakkan tulisan jawi sebagai identifikasi Islam.

“Maka, produk bukan Islam hendaklah dilarang sama sekali daripada menggunakan tulisan jawi pada bungkusan, iklan, papan tanda kedai dan apa jua label perniagaan bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nadzim berkata, pengguna Muslim khususnya sudah lama tertipu dengan teknik pengiklanan, pemasaran dan pembungkusan menggunakan lambang dan tulisan sinonim dengan agama Islam seperti tulisan jawi, masjid serta nama Islamik sebagai jenama produk.

“Sudah tiba masanya kita membezakan yang mana produk Islam dan mana produk bukan Islam supaya pengguna boleh membuat pilihan bijak,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan syarikat bukan Muslim kurang memahami konsep halal dan toyyib.

“Mereka sewenang-wenangnya mendapatkan pensijilan halal pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kemudian melanggar syarat sah halal sehingga banyak kes sijil halal produk dan perkhidmatan mereka ditarik balik.

“Namun, mereka hanya perlu membuat pembetulan dan memohon semula sijil halal. Hakikatnya, kesan daripada produk yang tidak halal kekal dan tidak boleh dihapuskan semudah itu,” katanya.

Katanya, kriteria pengeluaran sijil halal Jakim juga tidak mengambil kira majikan yang tidak membenarkan pekerja solat atau memakai tudung.

“Ada hotel mendapat sijil halal tetapi tidak benarkan pekerja memakai tudung, ia tidak masuk akal kerana halal bukan hanya pada makan dan minum.

“Malah, peniaga bukan Islam juga tidak membayar zakat dan tidak menyumbang kepada masyarakat Islam walaupun memperoleh kekayaan daripada masyarakat Islam,” katanya.

Semalam, Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) dilaporkan menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan jawi pada pembungkusan produk bukan Muslim.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris dipetik berkata, tulisan jawi disalah guna mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk. – myMetro Online