Pro Dan Kontra Pelantikan TMJ Sebagai Presiden FAM

PAGI Sabtu lalu, baru sahaja selesai pemilihan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 – 2021 pada Kongres kali ke-53 badan induk sukan tempatan itu.

Pemilihan presiden yang antiklimaks selepas pencabar tunggalnya, Tan Sri Anuar Musa tiba-tiba menarik diri daripada bertandang dua hari sebelum hari pemilihan.

Sebenarnya perkara ini boleh dijangka kerana Anuar sendiri memang pernah memberikan kenyataan bahawa beliau akan menarik diri jika TMJ sah mahu bertanding.

Imbas semula beberapa tahun dahulu, TMJ juga pernah bertanding sebagai calon presiden FAM, namun tewas kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada pusingan pertama pemilihan, Tengku Abdullah meraih 24 undi manakala Tunku Ismail hanya meraih 15 undi tetapi pemilihan terpaksa diadakan semula.

Ini kerana keputusan itu tidak mencapai majoriti dua pertiga mengikut Artikel 39.2 bagi pemilihan jawatan Presiden FAM. Namun itu cerita lama pada 2014 lalu.

Rentetan daripada itu, TMJ banyak mengkritik, mempersoalkan mengenai pengurusan FAM lebih-lebih lagi mengenai prestasi skuad kebangsaan dan hak penyiaran liga tempatan.

TMJ juga pernah mengeluarkan kenyataan Presiden FAM tidak sepatutnya datang daripada golongan keluarga diraja, dan ada pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab yang mengambil bahagian.

Dan hakikatnya Sabtu lalu, Presiden FAM yang baharu ironi masih lagi dari golongan kerabat diraja. Okay abaikan pasal isu tersebut.

Sebaik sahaja mendapat mandat, TMJ membuat keputusan drastik iaitu melantik bekas pengendali JDT, Mario Gomez selaku pengendali baharu skuad kebangsaan.

Ia sekali gus menurunkan pangkat Datuk Ong Kim Swee untuk mengambil alih pula skuad Bawah 22 tahun yang dalam persiapan ke Sukan SEA di ibu negara pada Ogos ini.

Selepas ini semua peminat bolasepak juga pasti ternanti-nanti siapakah bakal pengganti Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM. Namun segala keputusan terletak di tangan Presiden.

Di pihak penyokong dan peminat bola sepak Malaysia, banyak pendapat, harapan yang diletakkan terhadap pencapaian skuad negara yang ketika ini ibarat telur di hujung tanduk kerana prestasi yang amat teruk.

Peminat kebanyakan mengharapkan transformasi presiden baharu ini terhadap skuad kebangsaan termasuk dari segi pengurusan, pemilihan pemain dan paling penting taktikal sekarang ini jauh ditinggalkan negara ASEAN lain.

Mungkinkan satu langkah drastik menggunakan proses ‘naturalisasi’ pemain asing bakal dilakukan kerana semasa menaikkan kelab JDT, pemain import berkualiti adalah pemangkin utama kejayaan pasukan ini.

Jika skuad negara hanya menggunakan skuad sedia ada, ia pasti memerlukan lebih daripada lima tahun untuk mencipta sesuatu kejutan.

Kemungkinan kembalinya semula pemain senior seperti Syafiq Rahim dari persaraan juga mungkin dapat ubah senario yang berlaku sekarang. Tapi impaknya tidaklah banyak kerana Syafiq yang dulu bukanlah yang sekarang.

Setelah dua hingga tiga tahun jika masih tiada perubahan dari segi pembangunan dan prestasi bola sepak negara, janganlah terkejut jika slogan ‘FAM Bangsat’ kembali menular.

Diharap jika perkara itu berlaku, pihak FAM haruslah berlapang dada dan janganlah ada yang kena tangkap pula. Kesimpulannya menguruskan sesebuah organisasi bukanlah mudah seperti yang dijangka.

Selagi ada kepentingan peribadi, organisasi itu tidak ke mana. Ketelusan dalam membuat keputusan dan kesungguhan untuk memajukan sukan bola sepak adalah perkara pokok yang perlu didahulukan.

Biarlah siapapun presiden waima anak raja ataupun penarik beca, apa yang paling penting adalah kerjasama dan niat yang sama untuk mengecap kejayaan yang didahagakan oleh peminat bola sepak Malaysia!⁠⁠⁠⁠ – Mohd Aizzal

Loading...