PRN Sabah: KKM Rayu Semua Pihak Patuhi SOP

PUTRAJAYA – Menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini, semua pihak tanpa mengira status dan kedudukan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melahirkan kebimbangan lebih ramai individu dijangkiti selepas nilai penularan jangkitan atau R-naught (Rt) mencatatkan peningkatan di negeri itu.

“Nilai Rt dilihat tidak stabil dan kembali meningkat kepada 1.37 melebihi 1.0 di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membangunkan SOP bagi aktiviti berkempen dan mengundi.

“KKM merayu, patuhilah SOP tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya tiada urusan di luar masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah.

“Bantulah negara dalam mengawal penularan Covid-19 ini,” katanya.

Nilai Rt tertinggi direkodkan pada 7 September lalu iaitu 1.72. – Sinar Harian

Loading...