PRK Tanjung Piai: SPR Nafi Mempunyai Niat Tidak Baik

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan sekeras-kerasnya pihaknya mempunyai niat tidak baik memilih 16 November sebagai hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, iaitu hari yang dikatakan bertembung dengan Perhimpunan Agung UMNO.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya sedikit pun tidak berniat untuk menyusahkan UMNO mahupun MCA ataupun bertindak secara berat sebelah dan tidak adil dalam penetapan tarikh PRK berkenaan.

Beliau berkata, SPR mempunyai 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditetapkan untuk melaksanakan PRK berkenaan mulai 24 September dan tamat pada 23 November.

Jelasnya, cuti mingguan di Johor adalah Jumaat dan Sabtu, oleh itu, PRK tidak patut diadakan pada Jumaat kerana umat Islam menunaikan solat Jumaat manakala Ahad pula adalah hari bekerja di Johor. 

“Jadi, cuma hari Sabtu yang boleh digunakan untuk PRK ini. Bermula hari ini terdapat lapan Sabtu yang boleh diadakan PRK,” katanya hari ini.

Beliau memaklumkan, sekiranya diselidiki tarikh bagi hari Sabtu berkenaan, penamaan calon pada 5 Oktober dan mengundi 19 Oktober, tarikh berkenaan tidak sesuai berikutan Hari Hol pada 5 Oktober.

Katanya, sekiranya penamaan calon pada 12 Oktober dan mengundi 26 Oktober, ia tidak bersesuaian berikutan sambutan Deepavali pada 27 Oktober.

“Jika 19 Oktober dipilih hari penamaan calon dan 2 November hari mengundi, ia juga tidak sesuai kerana tempoh berkempen akan berada dalam tempoh cuti Deepavali. Lagi pun jika dipilih mengundi pada 2 November, tarikh mengundi awal pada 28 Oktober yang mana sehari selepas cuti Deepavali.

“Jadi yang tinggal hanyalah 2 November bagi penamaan calon dan hari mengundi pda 16 November. Itulah tarikh yang paling sesuai setelah mengambil kira faktor cuti umum dan bahawa hari minggu Johor ialah Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Tambah beliau, SPR tidak mahu mengadakan PRK pada Sabtu minggu berikutnya iaitu 23 November kerana itu adalah hari terakhir dalam jangka waktu 60 hari. 

“Ini ialah untuk memberi margin tujuh hari sekiraya berlaku apa-apa yang tidak terduga yang menyebabkan PRK tidak dapat dijalankan pada 16 November,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini menyifatkan SPR sengaja memilih untuk menetapkan tarikh pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai ketika UMNO sedang mengadakan Perhimpunan Agung pada 13 hingga 16 November depan.

Jelas Annuar, SPR sepatutnya bersikap neutral dalam menjalankan tugas namun keputusan penetapan tarikh mengundi awal pada 12 November dan hari mengundi pada 16 November dilihat secara tidak langsung cuba membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi semula kerusi Parlimen tersebut.

Loading...