PRK Semenyih: 53,411 Pengundi Layak Mengundi Esok

SEJUMLAH 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, ini berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Januari 2019.

“Jumlah pengundi biasa yang layak mengundi dalam PRK Semenyih ialah 53,520 orang. Bagaimanapun daripada jumlah itu 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi 53,411 orang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Waktu mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas (26 Februari).

Sambil menggesa semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka, Azhar menasihatkan agar mereka merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat akhir.

Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang mengetahui maklumat daftar pemilih, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Bagi pengundi yang tidak menerima kad berkenaan kerana kemungkinan berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:

  • layari portal rasmi SPR di pengundi.spr.gov.my; atau
  • telefon ke talian 03-88927018; atau
  • menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak; atau
  • hantar SMS ke 15888 (taip SPRSEMAK NO.IC)

Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian akan memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” kata Azhar.