PRK Sandakan: Hari Pengundian 11 Mei

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Parlimen Sandakan, Sabah.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga menetapkan hari penamaan calon bagi PRK itu pada 27 April manakala hari pengundian awal pada 7 Mei depan.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei depan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas PRK Parlimen Sandakan di Menara SPR, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah daftar pemilih induk tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 28 Mac lalu dan akan mula dijual pada 22 April depan.

Katanya, daftar pemilih itu mengandungi pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, pengundi awal (270) dan pengundi tidak hadir luar negara (lima).

“Bagi PRK ini, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. Sebanyak 21 pusat mengundi akan dibuka melibatkan keseluruhan 92 saluran dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM3.1 juta,” katanya.

Bagi menjalankan proses PRK itu, Azhar berkata, SPR bersetuju melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai pegawai pengurus pilihan raya dengan dibantu lima penolong pegawai pengurus.

“SPR akan menggunakan Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, SPR akan meneruskan penambahbaikan pada PRK kali ini dengan memanjangkan tempoh masa pengundian dari 8 pagi sehingga pukul 5.30 petang berbanding 5 petang sebelum ini.

“Ia turut membabitkan seramai 770 petugas untuk mengendalikan proses PRK ini,” katanya.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu.

Tien Fatt yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Mendiang memenangi Parlimen Sandakan buat penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada Mei tahun lalu. – K! ONLINE

Loading...