PRK Rantau: Streram Nafi Minta Derma Orang Ramai

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram menafikan beliau meminta wang tajaan daripada orang ramai.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau berkata, ada pihak menyebarkan dakwaan palsu melalui media sosial beliau memerlukan wang itu untuk membiayai kempen PRK.

“Saya kecewa dengan anasir-anasir yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah dan maklumat palsu yang boleh memesongkan minda pengundi.

“Saya meminta orang ramai jangan terpedaya dengan berita palsu menjelang PRK ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Streram sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau.

Mesej infografik yang tular di media sosial mendakwa Streram merayu sumbangan kerana beliau sudah menghabiskan wang untuk kes petisyen DUN Rantau di mahkamah sebelum ini.

Beliau didakwa meminta orang ramai memasukkan wang ke dalam akaun banknya dan menjanjikan projek kepada mereka selepas menang. – K! ONLINE

Loading...