PRK Rantau: Penduduk Hadir Ceramah Dijamu Makan

SEREMBAN – Program bersama masyarakat India Kuala Sawah di Taman Sri Ramai di sini malam tadi dilihat turut menyediakan makanan kepada penduduk yang hadir.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, hidangan nasi lemak disediakan di bahagian belakang khemah dan orang ramai yang menghadiri program tersebut boleh mengambil makanan tersebut secara percuma.

Selain calon PH, Dr. S Streram, program itu turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan parti.

Malah, dalam program tersebut Streram dan Anwar memberi ceramah serta berkempen kepada penduduk yang hadir.

Seorang pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kebetulan berada di ceramah itu mengesahkan kepada media bahawa mengadakan jamuan kepada pengundi dalam program dihadiri calon PRK adalah satu kesalahan.

Bagaimanapun, Anwar ketika ditanya media mengenai kesalahan mengadakan jamuan berkata, program itu merupakan anjuran NGO dan bukannya parti.

“NGO jemput dan kena tanya mereka mengapa buat jamuan. Calon pun hadir? Itu kena tanya NGO tersebut, saya datang atas jemputan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur menyatakan jamuan itu dikelolakan penduduk sekitar Taman Sri Ramai dan dibantu pemimpin PKR peringkat cabang.

Dia turut memberikan alasan jamuan diadakan sebagai menghargai tetamu yang datang dari jauh dan tidak menggunakan duit calon.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom dilaporkan berkata, sebarang penjamuan makanan dan minuman (treating) sebelum, semasa dan selepas pilihan raya adalah salah di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya. – Sinar Harian

Loading...