PRK Rantau: Keluarga Tak Ketuai Jentera Tok Mat

REMBAU – Gerak kerja UMNO bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan dikendalikan oleh jentera dari ibu pejabat parti itu dengan dibantu oleh jentera di peringkat tempatan.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, tuduhan yang mengatakan jentera berkenaan di setiap peringkat hanya diketuai oleh adik-beradik, anak dan anak buah kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah tidak benar.

Katanya, beliau sendiri adalah Pengarah Operasi PRK tersebut yang dibantu antaranya oleh dua Pengarah Naziran masing-masing ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

“Tuduhan yang disebarkan di media sosial itu adalah tidak benar, malah saya sendiri adalah Pengarah Operasi PRK ini,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin peringkat jentera pilihan raya UMNO bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Ekar, Rantau dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Annuar menjawab dakwaan yang tular di media sosial menuduh jentera PRK DUN Rantau dikuasai oleh mereka yang mempunyai pertalian keluarga dengan Mohamad.

Beliau berkata, bukan sesuatu yang menghairankan jika ahli keluarga Mohamad membantu penyandang kerusi DUN Rantau itu dalam struktur jentera pilihan raya di peringkat kampungnya.

“Mohamad berasal dari Rantau dan ahli keluarganya juga terlibat secara aktif dalam politik di sini sejak dahulu. Adiknya, Gani adalah bekas wakil rakyat. Sudah tentu mereka akan membantu jentera pilihan raya di sini,” ujarnya.

Menurutnya, tohmahan itu sengaja disebarkan dengan harapan ia akan menyebabkan kekalahan Mohamad dalam PRK pada 13 April ini.

“Tetapi saya hendak beritahu di sini, tanpa mengira sesiapa pun, pengundi di Rantau harus memastikan kemenangan besar kepada Mohamad dalam PRK kali ini bagi menghantar isyarat jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah gagal mentadbir negara seperti diharapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...