PRK PD: Bersih Dakwa Anwar Buat 6 Kesalahan

BONGKAR… Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa badan pemantau pilihan raya, Bersih, melakukan enam daripada 10 kesalahan semasa kempen Pilihan Raya…

BONGKAR… Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa badan pemantau pilihan raya, Bersih, melakukan enam daripada 10 kesalahan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Pengarah Eksekutif Bersih, Yap Swee Seng pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor hari ini dipetik portal tempatan Malaysiakini berkata, baki empat lagi kesalahan dilakukan oleh calon PAS, Mohd. Nazari Mokhtar.

“PRK itu dicemari oleh pelbagai kesalahan pilihan raya dan salah laku dalam tempoh berkempen. Sepuluh isu telah direkod dan semua dilakukan masing-masing oleh Pakatan Harapan (PH) dan PAS,” kata beliau dalam nada kesal.

Swee Seng berkata, kemunculan Anwar pada majlis bersama anggota tentera merupakan antara contoh kesalahan pilihan raya yang jelas dilakukan ketua umum PKR itu, malahan acara sedemikian tidak dihadiri calon-calon lain.

Menurutnya kehadiran Anwar pada program pengagihan bantuan zakat di Masjid Jamek Permatang Pasir bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun juga cetus persoalan mengenai salah guna jentera kerajaan.

Selain itu jelas Swee Seng, portal tuisyen dalam talian dilancarkan oleh Anwar dan dikaitkan dengan program kelas tambahan untuk murid miskin yang dilaksanakan kerajaan negeri Perak, juga antara kesalahan terang dilakukan.

Anwar turut dikesan pemantau Bersih, kelihatan berkempen pada sebuah konsert percuma dan dua majlis makan malam anjuran pihak tertentu termasuk sempat lagi menari begitu ceria di pentas disediakan, kata beliau lagi.

Sementara itu, Swee Seng berkata, calon PAS pula memberi hadiah percuma dalam bentuk cabutan bertuah semasa kempen mereka, selain jentera PAS juga ditemui mengedarkan kuih bulan semasa tempoh berkempen tersebut.

Selain itu beliau menambah, ada program amal pemeriksaan kesihatan secara percuma anjuran pihak PAS untuk bantu penduduk tempatan yang miskin tanpa kira latar belakang mereka juga direkodkan berlaku di Port Dickson.

Bersih namun memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana buat penambahbaikan tertentu di Port Dickson yang merupakan PRK keempat pasca Pilihan Raya Umum ke-14 lalu selepas Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.

“Secara keseluruhan, PRK ini berjalan lancar dengan beberapa penambahbaikan,” kata Swee Seng sambil memberi contoh SPR mengingatkan menteri kabinet berkempen di luar waktu pejabat dan tiada aset kerajaan disalahgunakan

Beliau berkata apabila calon bebas, Kan Chee Yuen merancang hendak mengedarkan pen percuma kepada para pengundi, SPR bertindak pantas dengan mengingatkan beliau bahawa ia merupakan kesalahan pilihan raya.

Swee Seng juga berkata Pengerusi SPR, Azhar Harun mengarahkan pegawai ambil tindakan terhadap penyokong berkempen di luar pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang pada hari pengundian. – Agensi

Loading...