PRK Parlimen Gerik, DUN Bugaya Pada 16 Januari 2021

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, dijalankan serentak pada 16 Januari 2021.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan urusan kedua-dua PRK berkenaan di sini hari ini, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 12 Januari.

Kedua-dua PRK berkenaan perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya Allahyarham Manis Muka Mohd Darah kembali rahmatullah pada 17 November.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Raub, Pahang akibat serangan jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14,  Allahyarham daripada Barisan Nasional mempertahankan kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti 5,528 undi.

Manis Muka, 65, pula meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu akibat masalah buah pinggang. Allahyarham daripada Parti Warisan Sabah mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 26 September lepas dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Bagi kedua-dua PRK itu, Abdul Ghani berkata SPR menetapkan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga 11.59 malam pada  15 Januari 2021. 

“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.

Abdul Ghani berkata bagi PRK Parlimen Gerik, SPR menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) suku ketiga (ST3/2020) yang mengandungi 36,750 pengundi,  terdiri daripada 33,675 pengundi biasa; tentera serta pasangan (2,111); polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan (959) dan pengundi tidak hadir luar negara (5).

Bagi PRK DUN Bugaya pula, Abdul Ghani berkata SPR menggunakan DPPR ST3/2020 yang mengandungi 21,618 pengundi yang terdiri daripada 21,181 pengundi biasa dan 437 anggota polis.  

Pusat penamaan calon  dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi kedua-dua PRK berkenaan akan masing-masing diadakan di Dewan Serba guna Majlis Daerah Gerik dan Dewan Masyarakat Semporna, katanya.

Abdul Ghani berkata SPR menambah baik Garis Panduan Pencegahan COVID-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang digunakan semasa Pilihan Raya Negeri Sabah ke-12 lepas bagi pelaksanaan kedua-dua PRK itu.

Menurut beliau, semua aktiviti berkempen berbentuk ceramah, syarahan, kempen ziarah rumah ke rumah, walkabout atau pengedaran risalah  secara bersemuka tidak dibenarkan. 

“Calon digalakkan berkempen menggunakan saluran media sosial. Calon dibenarkan untuk memasang sepanduk di dalam kawasan pilihan raya,” katanya.

Abdul Ghani berkata petugas parti atau calon juga perlu mengelakkan pertembungan semasa pemasangan sepanduk bagi mengekalkan penjarakan fizikal. 

Selain itu, aktiviti berkempen menggunakan kenderaan yang dilengkapi alat pembesar suara dibenarkan pada waktu yang munasabah, namun tidak boleh menyebabkan berlaku perkumpulan atau perhimpunan penyokong. 

Menurutnya, seramai 1,309 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Gerik yang melibatkan 23 pusat mengundi dan 81 saluran dengan anggaran peruntukan sebanyak RM5.8 juta.  

Bagi mengendalikan PRK DUN Bugaya yang melibatkan sembilan pusat mengundi dan 46 saluran dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4.7 juta, SPR akan melantik 544 petugas, katanya. – BERNAMA