PRK Kimanis: Semua Pusat Mengundi Ditutup 5 Petang

BEAUFORT – Kesemua 19 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ditutup tepat pukul 5.00 petang ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pemilih berdaftar pergi mengundi setakat 4 petang ialah 76.14 peratus.

Sejurus selepas pusat mengundi ditutup, kesemua peti undi daripada 68 saluran yang dibuka tepat jam 7.30 pagi dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Dun Banir di sini, untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumum sebelum jam 10 malam.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Terdahulu seawal kira-kira 9 pagi, Karim mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis manakala Mohamad di SK Our Lady Kampung Kelatuan.

Tinjauan Bernama mendapati suasana pengundian aman dan berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang baik.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bongawan dan Membakut.

Proses mengundi berlangsung selama sembilan jam setengah itu, melibatkan seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.

Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan berdasarkan jumlah itu, lapan daripada sembilan orang sudah mengundi awal pada Selasa lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) yang berada di luar negara.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 48 peratus merangkumi pengundi bumiputera Islam dan 25 peratus Kadazan, manakala selebihnya kaum lain.

Daripada jumlah itu, 49.89 peratus pengundi adalah lelaki dan 50.11 peratus perempuan.

PRK Parlimen Kimanis merupakan PRK kesepuluh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU-14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah bagi kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Loading...