PRK DUN Melor Ditangguh Susulan Darurat

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan, yang sepatutnya diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi itu selepas kematian penyandangnya, Dr Md Yusnan Yusof pada 30 April lalu, ditangguhkan. 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata penangguhan itu selaras dengan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021. 

“Ia juga selaras dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya DUN yang sedang berkuat kuasa,” katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini. 

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di kediamannya di Melor selepas mengalami serangan jantung, hujung bulan lalu. 

Pada masa sama, Ikmalrudin berkata, pihaknya sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Yakub, semalam, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan. 

Beliau berkata, selaras dengan Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi Dewan Negeri Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi itu. 

“Bagaimanapun, PRK di DUN Melor ditangguhkan susulan Proklamasi Darurat dan Seksyen 13 Ordinan Darurat. 

“SPR mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Md dan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang,” katanya. – BH Online