PRK Cameron Highlands: Saingan 4 Penjuru

SENGIT… Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berdepan dengan tiga lawan dalam saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands di Pahang.

Ia berlaku setelah bekas Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas buat kejutan apabila beliau tiba-tiba tanpa dijangka mengumumkan dirinya menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas sebentar tadi.

Ramli ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas calon Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, M. Manogaran serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Kesemua nama disahkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md. Napis pada pukul 10.36 pagi di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata.

Proses penamaan calon berlangsung di Dewan Gemilang sekolah tersebut dengan tempoh masa satu jam diberikan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi semua calon mengemukakan Kertas Penamaan Calon masing-masing.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di ibu negara membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada PRU lalu konon berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.

Sebelum ini, Kayveas menyatakan hasratnya untuk bertanding pada PRK tersebut dan menyifatkan keputusan itu merupakan yang pertama selepas MyPPP keluar dari BN pada 19 Mei 2018, selepas kalah dalam PRU ke-14.

Namun, Presiden MyPPP, Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz dalam sidang akhbarnya berkata, keputusan dibuat Kayveas itu tidak dapat persetujuan majlis tertinggi parti selain mendakwa beliau bukan lagi ahli parti tersebut.

Malah Kayveas juga dilarang untuk menggunakan logo parti berkenaan jika tetap mahu bertanding dalam PRK berkenaan yang hari pengundian ditetapkan pada 26 Januari depan. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...