Presma Kecewa Imej Islam Dieksploitasi Bukan Muslim

KESAL… Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) kecewa tindakan pengusaha bukan Muslim eksploitasi ayat al-Quran demi tarik pelanggan Islam datang ke kedai mereka.

Presidennya, Ayoob Khan Muhamad Yakub dipetik media tempatan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah beri imej buruk kepada restoran India Muslim atau mamak yang menjalankan perniagaan dengan betul.

“Pengusaha restoran bukan Muslim dengan sengaja menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan beragama Islam apabila secara terbuka menamakan kedai mereka sendiri kepada nama-nama yang ada unsur Islam.

“Tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa kepada mereka. Perkara ini melibatkan soal makanan halal amat penting buat umat Islam,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan di ibu negara hari ini.

Dianggarkan kira-kira 10,000 restoran mamak 24 jam beroperasi di negara ini memiliki keistimewaan tersendiri termasuk menyediakan sajian enak masakan India Muslim bersumberkan rempah ratus dari benua kecil itu.

Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan serbuan di sebuah premis makanan di Shah Alam.

Ia dikesan sengaja mengelirukan masyarakat Islam dengan gantung pelbagai ayat al-Quran di dalam restoran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...