Presiden UMNO Tidak Perlu Berundur

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar didesak oleh mana-mana pihak supaya berundur atau bercuti daripada jawatannya kerana pendakwaan yang dihadapi beliau di mahkamah bermotifkan politik.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ahli akar umbi UMNO malah masih setia bersama parti dan tidak berganjak walaupun UMNO serta pimpinannya sedang ditekan dengan begitu hebat.

Tambah beliau, UMNO Kelantan sendiri akan terus teguh bersama sama presiden parti dalam menongkah arus perjuangan yang mencabar itu.

“Saya menyokong dan amat bersetuju dengan kenyataan presiden parti walaupun menerima tekanan sehebat mana pun ia (UMNO) tidak akan dibubarkan.

“Kita tidak akan khianati sebuah parti yang jelas menjadi payung kepada orang Melayu serta mempertahankan kesucian agama Islam.

“Presiden (UMMO) tak perlu untuk berundur atau bercuti kerana kita mesti melihat pendakwaan terhadap beliau adalah bermotifkan politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, ahli UMNO peringkat di akar umbi Kelantan masih bersetia bersama parti dan tidak akan berganjak meninggalkan UMNO.

Kata beliau, perkara itu dapat dilihat dengan jelas apabila semangat ahli UMNO semakin tinggi berikutan kedudukan orang Melayu semakin terpinggir dan agama Islam terancam sejak UMNO kehilangan kuasa.

“Saya berkeyakinan tinggi UMNO akan bangkit dengan perjuangan anak-anak muda yang mula menunjukkan minat untuk turut serta berjuang bersama UMNO setelah merasakan tertipu serta hilang keyakinan pada kerajaan sekarang dalam membela nasib anak muda Melayu,” katanya.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa kononnya UMNO sudah tidak wujud di Malaysia.

Beliau mendakwa UMNO tidak memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara, melainkan hanya mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru, Mahathir menggesa seluruh ahli UMNO supaya meninggalkan parti itu dan menyertai parti baharu beliau PPBM. – MYNEWSHUB.TV

Loading...