Presiden PAS Wajar Saman Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berpandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajar menyaman pemimpin DAP, Lim Kit Siang kerana secara jelas memfitnah beliau.

Kata Kamarul Zaman, Abdul Hadi tidak pernah menyebut tentang UMNO dalam ulasannya mengenai cita-cita DAP menjadi Perdana Menteri, tetapi Kit Siang dalam komen balas mengaitkan UMNO dengan kenyataan Presiden PAS tersebut.

“Saya hairan bagaimana Kit Siang boleh menghubungkan Abdul Hadi dengan kenyataan “jika UMNO kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia” bila Abdul Hadi tidak menyebut walau sekali pun istilah “UMNO”

“Bila diteliti, apa yang terkandung dalam kenyataan Abdul Hadi adalah cita-cita pemimpin DAP menjadi Perdana Menteri bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan. Jika saya Presiden PAS, sudah tentu saya akan menyaman Lim Kit Siang di mahkamah kerana membuat fitnah tidak berasas terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Kamarul Zaman, adalah jelas bahawa Kit Siang adalah seorang pemutar-belit dan layak disaman di mahkamah.

Beliau seterusnya berkata, Kit Siang tidak sepatutnya marah apabila Abdul Hadi berpandangan Kit Siang berhasrat menjadi Perdana Menteri kerana pemimpin DAP itu pernah menuduh Abdul Hadi mahu menjadi Perdana Menteri.

Malah, katanya, tidak logik Kit Siang mendakwa Abdul Hadi menyokong pemimpin UMNO dikekalkan sebagai Perdana Menteri pula kali ini kerana beliau sebelum ini mendakwa Abdul Hadi yang mahu jadi Perdana Menteri.

“Kit Siang pada 13 Jun 2016 mendakwa Abdul Hadi berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri walaupun tidak memberikan apa-apa bukti terhadap dakwaan ini.

“Itulah Lim Kit Siang, boleh sahaja beliau menuduh orang lain, tetapi bila dakwaan serupa dibuat terhadap beliau tidak boleh pula,” katanya. – MYNEWSHUB.CC