Presiden Cyprus Mahu Pasport Jho Low Dibatalkan

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa wajar membatalkan pasport yang diberi kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low pada September 2015.

Akhbar berbahasa Inggeris Cyprus Mail melaporkan Presiden Cyprus, Nicos Anastasiades, sebagai berkata, siasatan sewajarnya perlu dilakukan sebagai justifikasi terhadap tindakan membatalkan pasport terbabit.

Beliau ditanya wartawan sama ada pasport negara itu dimiliki Jho Low wajar ditarik balik.

“Semestinya, tetapi perlu ada siasatan supaya proses pembatalan dilakukan dengan sewajarnya,” katanya.

Kenyataan Anastasiades itu dipercayai bertujuan meredakan kritikan susulan pendedahan eksklusif akhbar negara itu, Politis, yang melaporkan Jho Low memiliki pasport Cyprus selepas terbabit dalam skim pasport melalui pelaburan.

Menurut Politis, Jho Low dikatakan mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners bagi tujuan itu, dipercayai untuk mengelak pergerakannya dikesan pihak berkuasa antarabangsa dan Malaysia.

Ia adalah firma sama digunakan Jho Low bagi mendapatkan pasport dari sebuah lagi negara kepulauan, Saints Kitts and Nevis sebelum ini.

Bagaimanapun, pasport berkenaan dibatalkan susulan siasatan dijalankan terhadap Jho Low.

Mengulas proses pemberian kewarganegaraan mencurigakan terhadap pelabur asing, Anastasiades berkata, ada keadaan itu yang boleh dilihat secara ketara.

“Mungkin ada individu lain dengan isu yang sama, cuma ia belum terbongkar kepada umum,” katanya.

Presiden Cyprus itu dilihat berusaha mengawal imej negaranya yang tercalar susulan pendedahan membabitkan Jho Low.

Ahli perniagaan itu kerap dikait sebagai dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa digunakan untuk menyeleweng jutaan ringgit.

Pihak berkuasa Malaysia sudah menarik balik pasport Jho Low, mengeluarkan waran tangkap dan meminta bantuan Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, India, Myanmar, China serta Hong Kong bagi mengesannya.

Menurut laporan Politis, Jho Low tiba di Cyprus pada September 2015 dan mendapat pasport menerusi skim kewarganegaraan berdasarkan pelaburan, beberapa hari selepas melabur dalam sektor hartanah di Ayia Napa ketika belum dikaitkan dengan skandal 1MDB. – BH Online

Loading...