Premis Makanan Dihadkan Operasi Hingga 10 Malam

KUALA LUMPUR – Tempoh operasi premis makanan dan restoran yang sebelum ini dibuka 24 jam dihadkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam bermula hari ini.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan arahan itu berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac ini.

Menurut kenyataan itu, arahan terbabit melibatkan semua premis perniagaan makanan restoran yang beroperasi 24 jam di Kuala Lumpur.

“Kaedah penjualan makanan hanya dibenarkan secara pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang.

“DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik perniagaan yang gagal mematuhi arahan ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, arahan tersebut selaras Akta 342, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Ia tertakluk kepada perubahan arahan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara. – Sinar Harian

Loading...