PR1MA: Pemaju, Kontraktor Bumiputera Bakal Gulung Tikar

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendakwa pemaju dan kontraktor Bumiputera berdepan risiko gulung tikar selepas setahun Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) masih gagal menentukan hala tuju baharunya.

Pengerusi Dewan Muda DPMM, Mohd Ali Amin Abd Latif berkata, ketika ini lebih 30 pemaju Bumiputera yang terbabit dengan projek PR1MA sudah mengeluarkan ratusan juta ringgit sebagai modal awal untuk urusan pembelian tanah dan permulaan projek.

Katanya, disebabkan tiada hala tuju baharu PR1MA itu, ramai pemaju dan kontraktor Bumiputera berdepan dengan masalah kewangan syarikat serta berdepan tindakan pihak bank.

“Lebih 30 pemaju dan kontraktor Bumiputera terbabit dengan projek PR1MA. Mereka datang kepada kami dan memaklumkan kerisauan mereka kerana selepas setahun PR1MA masih tiada hala tuju. Daripada jumlah itu, 15 pemaju ataupun kontraktor ini hadir bertemu kami.

“Ramai berdepan dengan masalah kewangan syarikat dan ada yang berdepan tindakan pihak bank. Setiap pemaju ini sudah mengeluarkan sekitar RM10 ke RM15 juta, jadi kami DPMM mahu mendapatkan penjelasan PR1MA berhubung isu ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Tan Sri Eddy Chen dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkuat kuasa 1 Oktober 2018 selepas Tan Sri Alies Nor Abdul meletakkan jawatan pada 1 Jun 2018.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, beberapa projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA ) terpaksa dihentikan pembinaannya berikutan kerajaan perlu menelitinya semula termasuk daripada aspek kewangan.

Katanya, terdapat beberapa perkara perlu diperkemaskan dalam projek tersebut selain bagi memastikan pembangunan PR1MA selepas ini mengikuti keperluan ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohd Ali Amin berkata, sekiranya PR1MA berhasrat untuk menghentikan projek berkenaan, pampasan sewajarnya perlu dikeluarkan kepada pemaju yang telah mengeluarkan modal.

“Bila ini berlaku ia memberi kesan kepada semua pihak iaitu pemaju, kontraktor, pembekal dan pihak yang berkaitan lain.

“Bukan itu saja, bila aliran tunai kewangan pemaju itu bermasalah, reputasi mereka juga akan menjadi tidak elok dan menyukarkan mereka untuk mendapatkan projek-projek lain,” katanya. – Sinar Harian

Loading...