PPS Tunggal Di Dungun Ditutup

KUALA TERENGGANU – Satu-satunya pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir di Terengganu iaitu Surau Kampung Besol Lama, Dungun telah ditutup pagi ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Daerah Dungun, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid penutupan itu susulan keadaan air yang mulai surut di kawasan rumah masing-masing.

“Cuaca juga sudah beransur baik dan tiada hujan di kawasan ini pada malam tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

PPS yang menempatkan lapan keluarga dengan 31 orang mangsa terdiri daripada 18 orang dewasa, sembilan orang kanak-kanak dan empat orang bayi dibuka sejak semalam dan keseluruhannya pulang ke rumah masing-masing kira-kira 9.30 pagi tadi.

Pemindahan tersebut dilaporkan bukan disebabkan kenaikan paras air sungai tetapi ekoran air hujan yang bertakung di kawasan rumah mangsa. – BERNAMA

Loading...