PPR Ganti Rumah Malaysia, Atasi Masalah Kediaman Kosong

JOHOR BAHRU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjenamakan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai Rumah Malaysia bagi mengatasi masalah kediaman tidak berpenghuni.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata selain keluasan lantai Rumah Malaysia tidak boleh kurang daripada ukuran 83.61 meter persegi, pihaknya akan menetapkan syarat pemohon yang layak perlu memasuki rumah itu dalam tempoh tiga bulan selepas permohonan diluluskan, selain kadar sewa diselaraskan di seluruh negara.

Beliau berkata, sebanyak 11 projek Rumah Malaysia akan dibangunkan di seluruh negara membabitkan 4,120 unit kediaman dengan tiga daripadanya di Johor, bermula tahun ini.

“KPKT membuat satu polisi bahawa tiga bulan saja tempoh diberi kepada pemohon yang layak untuk masuk ke rumah ini selepas permohonan diluluskan, maknanya kita memberi mereka masa dan masuk dengan kadar sewa ditetapkan.

“Mereka diberikan tempoh sewa selama dua tahun untuk menguruskan pinjaman bank. Jika dua tahun mereka masih gagal, kita akan lihat sebabnya dan akan memberi mereka lanjutan masa setahun lagi.

“Kerajaan negeri harus bekerjasama dengan KPKT kerana kerajaan negeri yang saring nama pemohon. Jika dulu, apabila rumah ini hendak dijual, pemohon perlu minta walaupun dia layak saringan daripada kerajaan negeri, namun pinjaman bank ditolak yang akhirnya rumah terbiar dan tiada pengisian,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 dan PPR Taman Perling, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 160 unit rumah kediaman dan lapan unit kedai di Taman Seri Molek Perdana, Plentong, dekat sini, serta 525 PPR Taman Perling diberikan kepada penerima yang layak.

Rumah Malaysia bakal memiliki keluasan 900 kaki persegi (kps) berbanding 700 kps PPR yang ada sekarang.

Zuraida berkata, pihaknya sedang dalam proses tender membabitkan lokasi Rumah Malaysia di Pengerang, Kluang dan Sembrong, selain dijangka menjalankan penganugerahan tender kepada pemaju bagi memulakan kerja pembinaan pada bulan depan.

Beliau berkata, pelbagai fasiliti seperti taman permainan, dewan dan rumah ibadat juga harus disediakan dalam projek Rumah Malaysia bagi mewujudkan persekitaran sihat, selain penubuhan jawatankuasa penduduk yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan dan keselamatan. – BH Online