PPBM Memang Telah Dijangka Cantas PAN

SEHARI dua ini, tindakan ketua pertubuhan bukan kerajaan IDEAS, Wan Saiful Wan Jan membuat kejutan memasuki politik dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah memanaskan sedikit suasana politik negara.

Wan Saiful dikritik kerana tindakan ini bertentangan dengan prinsip-prinsip kebebasan dan liberal yang dibawa selama ini melalui IDEAS yang menentang politik konservatif dan berasaskan kaum.

Tindakan beliau itu menunjukkan yang PPBM memiliki kelebihan yang besar, sehingga dapat menarik penganalisis itu menjadi ahli parti dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Walaupun parti paling baharu dalam gabungan Pakatan Harapan, PPBM nampaknya akan terus meninggalkan parti-parti rakannya jauh di belakang.

Akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dalam satu catatan di laman Facebook beliau berpandangan yang PAN boleh membubarkan parti dan menyertai PPBM berdasarkan pendapat Wan Saiful yang hanya PPBM mampu membina keyakinan daripada orang Melayu dan membawa perubahan.

Trend penyertaan bekas ketua eksekutif IDEAS ini dan beberapa pemimpin lain dari kalangan parti-parti pembangkang menunjukkan PPBM lebih diyakini dan PAN dan mungkin juga parti lain semakin tidak relevan.

Sebelum penyertaan Wan Saiful, ramai bekas pemimpin PAS yang dijangka akan bersama PAN telah menyertai PPBM atau menunjukkan kecenderungan untuk bersama PPBM.

Sejak awal, PPBM telah menampakkan lebih kredibiliti berbanding PAN dan PKR walaupun berdepan banyak masalah dalaman.

Menjelang hari kemerdekaan, pada malam 30 Ogos, 2016, Datuk Husam Musa, bekas orang kepercayaan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan menyertai PAN, dalam satu majlis makan malam di ibu negara.

Penyertaan Husam selepas lebih setahun tersingkir daripada PAS ekoran keputusan pemilihan muktamar pada 2015 yang menyaksikan penolakan terhadap golongan profesional yang menentang kepimpinan ulama itu menimbulkan persoalan kerana masa yang diambil untuk Husam membuat keputusan.

Pemimpin-pemimpin daripada golongan yang sama, yang lebih mesra dengan Pakatan Rakyat dan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beramai-ramai berusaha menubuhkan sebuah parti baharu.

Mereka berhasrat menubuhkan sebuah parti “Islam progresif” yang mereka dakwa akan menjadi lebih inklusif berbanding PAS, dan tidak akan dikenali sebagai parti yang hanya tertumpu pada agama seperti PAS.

Husam walau bagaimanapun tidak menunjukkan kesungguhan yang sama untuk bersama parti baharu yang dirancang itu, dan dikatakan lebih cenderung dengan PPBM.

Seorang lagi bekas pemimpin dalam PAS, Datuk Mahfuz Omar juga tidak bersama dalam usaha menubuhkan parti baharu walaupun sering menunjukkan pendirian yang bertentangan dengan PAS.

Secara lantang, Mahfuz sering mengambil peluang mengkritik partinya sendiri, sehingga pernah mendakwa yang PAS mengamalkan politik “makan keliling.”

Cerita yang sama dikaitkan dengan Mahfuz, yakni beliau berusaha untuk menyertai PPBM, mengikuti Mahathir, pemimpin yang disanjungnya, dan khabarnya beliau sudah ditawarkan jawatan yang selesa dalam PPBM.

Kemasukan Mahfuz ke dalam PPBM terhalang oleh perkiraan PPBM yang tidak mahu terlalu mencetuskan provokasi terhadap PAS, memandangkan kemungkinan persefahaman dan perjanjian yang mungkin dicapai menjelang pilihan raya umum nanti.

Ini ditambah lagi dengan perkiraan negeri Kedah yang mahu ditawan PPBM ialah juga kubu kuat PAS. Cita-cita PPBM untuk menawan Kedah tidak boleh dicapai sekiranya bermusuh dengan PAS.

Pada 26 November tahun lalu, Ketua Pembangkang Kedah, ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah membuat kejutan keluar PAS dan menyertai PPBM, dikatakan setelah namanya tidak disenaraikan lagi sebagai calon mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Tindak-tanduk dan keputusan ketiga-tiga ahli politik ini ialah antara contoh yang menunjukkan keyakinan yang lebih diletakkan pada PPBM berbanding PAN dan malah PKR yang semakin ketara perpecahannya.

Cerita terbaru ini mengesahkan bahawa keputusan pakatan pembangkang satu masa dulu menggesa PAN dibubarkan dan ahlinya menyertai parti rakan sedia ada sebagai keputusan yang tepat. – Mynewshub.cc/HZ

Loading...