Posmen Royal Mail Guna Trisikal Di Britain

LONDON – Posmen syarikat perkhidmatan penghantaran surat dan barang Britain, Royal Mail buat pertama kali menguji kenderaan mesra alam dikenali sebagai e-Trikes, lapor akhbar Daily Mail baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan, kenderaan tiga roda buatan Itali yang menggunakan kombinasi teknologi solar, bateri, pedal dan brek itu akan digunakan untuk menghantar surat dan bungkusan.

Sebanyak lapan buah trisikal e-Trikes akan diuji di Stratford, timur London, Cambridge dan Sutton Coldfield di England dalam tempoh beberapa minggu lagi selama enam bulan sebelum syarikat itu memutuskan meluaskan penggunaannya ke seluruh Britain.

“Kami komited melakukan perubahan dalam operasi untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan pada masa yang sama, memastikan keperluan pelanggan dapat dipenuhi,” kata Pengarah Hal Ehwal Awam dan Dasar Royal Mail, David Gold.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pejalan Kaki dan Basikal, Will Norman berkata, dia berbangga dengan usaha Royal Mail untuk tidak menggunakan kenderaan yang mencemarkan alam sekitar di samping membantu mengurangkan kesesakan di London. – Agensi

Loading...