Portugal Juara Sulung Liga Negara-Negara

PORTO – Portugal menambah gelaran Liga Negara-Negara yang julung kali diadakan kepada kegemilangan Euro 2016 mereka apabila jaringan Goncalo Guedes memastikan kemenangan 1-0 dalam perlawanan akhir menentang Belanda di Porto, awal pagi ini.

Gandingan Virgil van Dijk dan Matthijs de Ligt di benteng berjaya menghalang Cristiano Ronaldo tetapi pemain sayap Valencia, Guedes membuktikan kemampuannya apabila melakukan rembatan bertenaga bagi mengatasi penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen.

“Syukur kepada Tuhan semuanya berjalan baik bagi pasukan kebangsaan dalam beberapa tahun ini. Portugal memenangi pelbagai kejohanan penting seperti Euro 2016 dan kini Liga Negara-Negara,” kata Ronaldo.

“Ia kelihatan mudah tetapi sebenarnya sukar, ia perlukan dedikasi dan kemahuan tinggi. Saya rasa pemain berhak untuk diberi ucapan tahniah.”

Portugal dapat berehat sehari lebih dan tidak dipaksa bermain hingga ke masa tambahan ketika perlawanan separuh akhir menentang Switzerland berbanding Belanda yang menewaskan England Khamis lalu.

Pasukan tuan rumah kelihatan lebih segar manakala pasukan kendalian Ronald Koeman pula kelihatan kepenatan di penghujung musim yang panjang ini.

“Saya tak tahu jika kami kepenatan tetapi kami tidak cukup baik,” kata Koeman.

“Mereka bertahan dengan baik dan bermain dengan kompak tetapi anda perlu lebih baik dengan bola.”

Perlawanan itu dilihat sebagai pertembungan antara Ronaldo dan Van Dijk tetapi dengan kekebalan kapten Belanda itu di benteng pertahanan, ancaman dari Portugal dijelmakan oleh pemain tengah Bernardo Silva yang turut dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

“Saya sangat gembira, sangat berbangga. Ini adalah gelaran pertama saya bersama negara saya,” kata Silva yang memenangi tiga gelaran domestik bersama Manchester City pada musim ini. – Agensi

Loading...